Antara kraf tangan yang dihasilkan Kassim. Gambar kanan: Kassim menjalankan kerja-kerja kraf tangan di bengkel miliknya |
YAN - Bermula dengan hanya mengutip kayu-kayuan kini seorang lelaki mampu membuka bengkel sendiri hasil daripada kraf tangan yang dibuat sejak 25 tahun lalu.
Kassim Saad, 57, berkata, dia sememangnya suka menghasilkan kraf tangan seperti papan rehal, kukur kelapa dan pelbagai lagi.
Menceritakan permulaan dia membabitkan diri dalam penghasilan kraf berkenaan, dia menjelaskan, dahulu dia cukup teruja melihat pokok tumbang.
"Saya mula ambil batang pokok ini dan bawa pulang. Sedikit demi sedikit saya buat barangan kraf," katanya.
Bakat yang dimiliki Kassim mendapat perhatian Jabatan Pertanian apabila mereka memberikan mesin khas kepada Kassim untuk memudahkan kerjanya.
Bermula daripada mesin, Jabatan Pertanian akhirnya memperuntukkan wang untuk Kassim membina bengkel khas.
“Alhamdulillah, sehingga kini saya masih bersemangat menghasilkan kraf tangan tambahan pula saya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.
“Antara kayu yang saya gunakan ialah kayu daripada pokok cempedak dan buku lima. Kayu jenis ini tahan lama dan kukuh,” katanya.
Tambah Kassim, dia turut menghasilkan pasu, sudip nasi dan papan kuda bagi memenuhi permintaan pelanggannya.
“Sehingga kini, pelanggan dari Johor, Pahang dan banyak lagi,” katanya.
Katanya, ada kalanya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
“Namun saya tetap berusaha memenuhi tempahan kerana tidak mahu pelanggan berkecil hati.
“Untuk hasilkan produk kraf daripada kayu ini memang agak sukar namun jika ada kemahuan semuanya akan jadi mudah.
"Produk seperti papan rehal memerlukan ketelitian yang tinggi sepenuhnya jika mahukan hasil yang berkualiti supaya memenuhi cita rasa pelanggan,” jelasnya.
Kassim yang amat meminati bidang pembuatan seni kraf berkata, hasil kraf yang dilakukan wajar diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Walaupun nampak macam biasa, namun kraf tangan ini wajar diberikan pengiktirafan kerana ia adalah satu hasil seni yang diterjemahkan oleh seseorang yang berbakat.
"Bukan semua orang mempunyai bakat dan kemahiran ini. Jadi tidak salah jika kita menghargainya,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian