Pakatan Harapan Dijangka "Berperang" Sesama Sendiri Terlebih Dahulu Di Kedah


Heboh kini diperkatakan tentang pembahagian kerusi di kalangan parti gabungan pembangkang, Pakatan Harapan yang terdiri dari DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri Kedah.

Hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Isnin lalu dilaporkan berlaku pertindihan kerusi yang rumit di antara parti-parti tersebut yang dikatakan masih gagal diselesaikan oleh pimpinan parti masing-masing.

PPBM yang sebelum ini dikatakan hanya meletakkan 8 calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, dijangka bakal meletakkan lebih dari 25 calon bertanding dari jumlah keseluruhan 36 Dun di negeri ini.

Jangkaan berkenaan dibuat adalah berdasarkan perancangan parti itu yang mahu mengambil kembali jawatan Menteri Besar yang disandang Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selama hampir tiga tahun sebelum ini.

Walau bagaimanapun, dijangka Mukhriz tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah semula ekoran lebih meletakkan sasaran untuk menjadi menteri penuh di peringkat pusat, dan jawatan tersebut akan diberikan kepada bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Azimi Daim.

Azimi dijangka bakal bertanding di Dun Bandar Baharu pada PRU ke-14 nanti, manakala Timbalan Pengerusi PPBM Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid yang pernah menjadi calon bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bukit Selambau dijangka bakal bertanding di Dun Tanjung Dawai.

Sekiranya PPBM bertanding di 25 kerusi Dun di Kedah, maka PKR, PAN dan DAP pula akan terpaksa berebut baki 11 kerusi Dun yang tidak diusik parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

DAP Kedah sebelum ini menegaskan pendirian untuk tetap bertanding di dua kerusi Dun, Kota Darulaman dan Derga yang dimenanginya pada PRU yang lalu, menyaksikan PKR dan PAN pula bergelut dengan 9 lagi kerusi lain.

PKR yang sebelum ini bertanding di 10 kerusi Dun dan mencatat kemenangan di empat Dun di Kedah mungkin terpaksa "bertegang leher" dengan PAN yang turut dijangka menuntut kerusi lebih untuk cuba "mencuri" kerusi milik PAS di Dun Kedah.

PKR Kedah sebelum ini berjaya menawan Dun Sidam, Lunas, Bakar Arang dan Bukit Selambau, namun tewas di enam lagi kerusi di Kuah, Bukit Kayu Hitam, Pedu, Bakar Bata, Gurun dan Kulim.

Sementara itu, PAN Kedah pula dijangka bakal "memburu" semua kerusi yang ditandingi PAS pada PRU ke-14 nanti juga dilihat akan cuba merebut kerusi yang dari PPBM dan PKR berdasarkan pengaruh parti itu, khususnya di Kuala Kedah, Padang Terap dan Baling.

Dari 36 Dun yang ditawarkan, PAN dijangka menuntu lebih 20 kerusi Dun pada PRU ke-14 nanti termasuk Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bukit Pinang, Bukit Lada, Alor Mengkudu, Kuala Nerang, Pedu, Kupang, Bayu, Kuala Ketil, Merbau Pulas dan banyak lagi.

Sementara itu bagi peringkat Parlimen di Kedah pula, DAP dan PPBM dijangka bakal mendominasi kerusi di negeri ini berbanding PKR dan PAN.

Dari jumlah keseluruhan 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, PPBM dijangka akan menuntut 10 kerusi dari Pakatan Harapan untuk ditandingi pada PRU ke-14 nanti melibatkan Parlimen Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Jerai, Merbok, Sungai Petani, Baling, Sik dan Kulim-Bandar Baharu.

Manakala DAP Kedah pula dijangka akan menuntut empat kerusi Parlimen iaitu di Parlimen Alor Setar, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu berdasarkan jumlah bilangan pengundi bukan Melayu yang meningkat di kawasan terbabit.

PKR Kedah pula dijangka bakal menuntut untuk bertanding di empat Parlimen yang dimenanginya pada PRU yang lalu iaitu Padang Serai, Kuala Kedah, Sungai Petani dan Alor Setar untuk dipertahankan pada PRU ke-14 nanti.

Sementara itu, PAN pula dilihat berpotensi untuk menuntut kerusi Parlimen Kuala Kedah, Pokok Sena, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Padang Serai, dan Jerai, bagi mengimbangi calon PAS di kawasan-kawasan tersebut.

Perebutan di kalangan parti-parti di dalam Pakatan Harapan tersebut dikatakan tidak dapat dielak bakal berlaku ekoran beberapa faktor seperti "senioriti" parti pembangkang, ego, sasaran jawatan, isu calon boleh menang dan pengaruh parti masing-masing.

Namun begitu, PAS Kedah sebelum ini dalam satu kenyataan nekad untuk tidak memberikan sebuah kerusi pun kepada Pakatan Harapan, selain mahu PKR mengembalikan beberapa kerusi tradisi PAS yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

PAS pada PRU yang lalu bertanding di lapan kerusi Parlimen iaitu Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Jerai, Sik dan Baling. Namun begitu, PAS dijangka akan bertanding semula di lima buah kerusi yang sebelum ini diberikan kepada PKR.

Selain itu, PAS juga dijangka tidak akan mencalonkan Datuk Mahfuz Omar di Parlimen Pokok Sena pada PRU ke-14 nanti ekoran dari pendiriannya yang dilihat lebih cenderung menyokong PAN dan PPBM berbanding partinya sendiri.

Bagi memastikan sasaran menawan Kedah pada PRU ke-14 ini menjadi kenyataan, PAS juga dijangka bakal bertanding lebih dari 30 kerusi Dun, termasuk semua kerusi yang ditandingi parti itu pada pilihan raya yang lalu.

Rata-rata penganalisis dan pemerhati politik di negara ini menjangkakan parti-parti pembangkang di negara ini terpaksa "berperang" terlebih dahulu di kalangan mereka sebelum berdepan dengan Barisan Nasional (BN) yang lebih tersusun dan stabil dalam konsensus pengagihan kerusi pilihan raya. -Kedahnews.com