Pakatan Harapan Setuju Terima PPBM Jadi Anggota


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan bersetuju menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai gabungan parti pembangkang itu.

Perkara itu diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan dalam satu perbincangan semalam.

Antara pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perbincangan itu ialah Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Rafizi Ramli.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengasaskan penubuhan PPBM baru-baru ini memaklumkan parti itu akan menyertai Pakatan Harapan.

Mahathir dikatakan terdesak bertindak demikian ekoran sokongan hambar rakyat ke atas parti barunya dan terpaksa mengharapkan sokongan penyokong Pakatan Harapan, khususnya yang DAP, sekaligus menolak PAS.

Mahathir menubuhkan PPBM gara-gara berdendam dengan kerajaan Persekutuan kerana enggan memenuhi beberapa kepentingan peribadinya dalam urusan perniagaan dan politik.

Pakatan Harapan yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) diketuai oleh parti sekular DAP. -Kedahnews.com