PAN Dakwa PAS Enggan “Cerai” Di Selangor Kerana Kuasa, Gaji Besar


ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa bahawa PAS tidak akan berani untuk memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana khuatir akan kehilangan kuasa dan kemewahan yang dimiliki sekarang ini.

Setiausaha Organisasi PAN, Suhaizan Kayat berkata, PAS sebenarnya enggan untuk “bercerai” terutama sekali di Selangor kerana telah terbuai dengan kuasa dan bayaran gaji yang besar, sebaliknya jika mereka “bercerai’ maka akan hilanglah segala kesenangan yang diperolehi.

“Walaupun banyak usul PAS di Pulau Pinang dan Terengganu lulus putus hubungan dengan PKR, tapi saya lebih nampak Muktamar PAS April ini tidak berani buat keputusan berpecah dengan PKR.

“Isu utama adalah kuasa di Selangor. Hidup dalam keadaan ada kuasa, dapat pelbagai kemudahan, gaji puluhan ribu. Tiba-tiba nak putus. Hampir mustahil PAS nak putuskan hubungan dengan PKR,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, terdapat desakan dari pemimpin serta akar umbi PAS di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu yang menuntut supaya PAS Pusat memutuskan hubungan dengan PKR kerana parti tersebut memilih untuk terus bersama dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Desakan tersebut dibuat oleh kerana PAS serik serta menetapkan pendirian enggan menjalinkan hubungan dengan DAP dan parti serpihannya, PAN yang kini dianggap sebagai musuh politik mereka.

Tambahan pula, PAS juga dikatakan tidak mahu menjalinkan hubungan dengan  bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti tersebut juga turut menjalinkan hubungan rasmi dengan DAP dan PAN.-Kedahnews.com