ALOR SETAR – Masalah kekurangan kawasan parkir di Jeti Kuala Kedah khusus untuk menampung jumlah pelancong yang ingin ke Langkawi akan selesai dengan terbinanya parkir bertingkat di kawasan itu tidak lama lagi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, prasarana yang akan dibangunkan itu bukan sahaja dapat memberi prasarana baru kepada rakyat sekitar, malah turut dapat menghidupkan semula pembangunan di kawasan berkenaan.
“Tempoh pembinaan projek ini adalah selama 24 bulan dan tempoh konsesi selama 30 tahun. Kemudahan baharu ini yang menggunakan teknologi daripada Jepun bukan sahaja dapat memperbanyakkan ruangan tempat letak kereta sebanyak 900 unit, bahkan juga mempunyai enam unit kedai komersial dan hotel bajet.
“Kos projek bangunan 10 tingkat ini dianggarkan berjumlah RM74 juta dan memberi pulangan pendapatan kepada pihak MBAS sebanyak RM34 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) cadangan pembangunan tempat letak kereta bertingkat Kuala Kedah antara MBAS dan Syarikat M.A Intelligent Parking (M) Sdn Bhd, semalam.
Pada majlis itu, beliau yang mewakili MBAS turut mengadakan MoU berhubung cadangan pembangunan Alor Setar River Promenade dengan Syarikat AS Development Sdn Bhd. Kedua-dua MoU itu disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Menurutnya, pembangunan Alor Setar River Promenade adalah suatu perancangan untuk menambah baik kawasan seluas 5.9 hektar di persisiran Sungai Kedah, Ampang Jajar.
“Komponen pembangunan yang telah dipersetujui ini adalah termasuk kedai komersial, hotel, tempat letak kereta, dewan banquet, restoran, pelantar jeti dan dataran. Kos projek ini dianggarkan berjumlah RM70 juta.
“Projek ini memberi pulangan pendapatan kepada MBAS sebanyak RM26 juta. Dengan adanya Alor Setar River Promenade ini, ia akan memberi kemudahan pelancongan kepada rakyat Kedah khususnya dan pelancong-pelancong luar umumnya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Bashah pada sidang media menyokong usaha pembangunan untuk kemudahan pelancong di Kuala Kedah dan Alor Setar River Promenade.
“Saya percaya dengan terbangunnya projek ini ia akan memberi wajah baru di kawasan Kuala Kedah, terutamanya dari segi pengunjung-pengunjung yang akan ke Langkawi.
“Masalah yang kita hadapi selama ini di Kuala Kedah adalah parkir kenderaan tidak cukup oleh pengunjung yang akan ke Langkawi. Apabila adanya parkir bertingkat ini saya harap ia dapat menyelesaikan segala masalah yang berlaku,” katanya.
Sumber: Sinar Harian