Parlimen Contohi Selangor Lantik Hannah Yeoh Jadi Speaker


KUALA LUMPUR – Parlimen Malaysia perlu mencontohi Selangor melantik Hannah Yeoh Tseow Suan daripada parti sekular DAP sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub berkata, Hannah Yeoh seorang pemimpin DAP yang mempunyai idea untuk mengangkat nama baik DUN Selangor.

“Mungkin kita boleh menoleh sejenak beberapa perubahan besar yang telah berlaku di DUN Selangor yang boleh menjadi contoh yang baik. Hannah Yeoh sebagai Speaker DUN walaupun baru dan masih muda tetapi punya idea besar dan berani.

“Speaker Hannah Yeoh telah memulakan langkah seorang reformis yang berani. Sekiranya institusi Parlimen kita kekal di paras lama, kelak akhirnya kita ditertawakan selamanya,” dakwanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Salahuddin mendakwa kononnya tiada perubahan besar dalam Parlimen Malaysia yang telah berusia 60 tahun bagi menganjak paradigma Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Kata beliau, pemilihan speaker sepatutnya diteliti daripada segi keupayaan membuat perubahan, keberanian memecah tradisi usang dan pencetus pemikiran baru.

“Jawatan Speaker bukan hanya mempengerusikan sidang mesyuarat seperti Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya. –Kedahnews.com