ALOR SETAR – PAS memberi amaran kepada Parti Amanah Negara (PAN) agar tidak menyibuk dan masuk campur dalam urusan parti Islam tersebut terutama sekali berkenaan dengan Muktamar Agong PAS yang akan berlangsung pada April 2017 ini di Kedah.
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mempertikaikan tindakan pemimpin PAN yang mengulas mengenai Muktamar dan menuduh PAS kononnya akan berpecah sekali lagi.
“Sibuk sungguh pemimpin PAN mengulas soal Muktamar Agong PAS yang akan berlangsung pada April 2017 ini di Kedah”
"Siap membuat macam-macam spekulasi konon PAS akan pecah dua," ujarnya di status laman Facebook miliknya.
Menurutnya lagi, kadar bilangan ahli PAS yang keluar parti dan sertai PAN tidak sampai 1 peratus malah perkara itu tidak memberi kesan kepada parti Islam kerana bilangan keahlian baru bertambah dengan kadar yang sangat banyak.
“PAS tidak pecah dua, tidak pecah tiga dan tidak pecah empat. Laporan oleh Setiausaha Agong PAS, Dato' Takiyuddin menjelaskan bilangan ahli PAS yang keluar dari PAS tidak sampai 1 peratus.
“Yang lebih menarik, bilangan keahlian baru pula yang meningkat berkali kali ganda dengan kadar yang tidak pernah disaksikan oleh PAS sebelum ini” ujarnya lagi.
Selain itu, tindakan PAN yang masuk campur dalam urusan PAS membuatkan Amzad turut mempertikaikan kebenaran adalah PAN sebuah parti Islam, berapa banyak keahliannya dan bagaimana susunan pemimpinnya.
“Benarkah Parti PAN ini sebuah Parti Islam? Keahliannya macamana? Susunan kepimpinannya macam mana? Siapa boss yang paling boss? Ulama duduk di mana? Pemimpin dilantik masa mana? Pemilihannya bila?
“Soalan soalan seperti ini timbul kerana rakyat sampai hari ini masih belum dapat melihat Perlembagaan Parti Amanah seperti mana Perlembagaan PAS dan lain lain parti yang diuruskan secara profesional boleh diakses oleh orang awam” soalnya. -Kedahnews.com