PAS Sedang Dalam Proses Saman Husam, Sarawak Report


ALOR SETAR - PAS menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan tindakan saman terhadap Adun Salor, Datuk Husam Musa, yang sebelum ini mendakwa parti itu kononnya menerima dana sebanyak RM90 juta UMNO menerusi transaksi di Affin Bank.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, saman terhadap Husam itu akan dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan parti berkenaan.

"Husam akan diambil tindakan (saman) itu oleh pihak yang bertanggungjawab," tegas beliau dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Husam sebelum ini membuat tuduhan tersebut dan enggan menarik balik tuduhannya yang bersandarkan laporan portal propaganda politik pro-pembangkang, Sarawak Report, yang mengatakan PAS menerima dana berkenaan dari UMNO.

Memetik dari laporan Sinar Harian, Mohd Khairuddin turut mengesahkan bahawa PAS kini dalam proses menguruskan sebahagian pembayaran kos guaman di United Kingdom (UK) bagi meneruskan tidakan saman terhadap Sarawak Report dan pemiliknya, Claire RewCastle Brown.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan bahawa PAS juga kini sedang dalam proses pengumpulan maklumat yang cukup sebagai persiapan untuk menepis tohmahan kononnya PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO itu.

"Kita sedang buat proses saman itu di UK dan sedang berjalan… Kita sudah bayar (kos) sebahagian (bagi proses) bayaran kepada peguam di sana.

"Cuma sedang dalam proses pengumpulan data lagi. Surat pertama (tuntutan) telah kita hantar dan tunggu masa sahaja, Insya-Allah," ujar beliau.

Dr Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mendakwa bahawa Husam mendedahkan pembohongan dan fitnah mengenai PAS yang boleh menjatuhkan maruah dan  kepimpinan parti itu.

Sebelumnya, isu tersebut mula dimainkan Sarawak Report pada Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta diterima kepimpinan PAS daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Berikutan itu, PAS menyatakan untuk menyaman portal tersebut dan telah menghantar surat tuntutan kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menerusi alamat beliau di London, United Kingdom pada 13 Disember tahun lepas. - Kedahnews.com