PAS Tanya, Benarkah PAN Sebuah Parti Islam?


ALOR SETAR - PAS mempersoal tentang identiti parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) yang disifatkan sebagai mengelirukan sama ada parti tersebut merupakan sebuah parti Islam atau sebaliknya.

Anggota Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, PAN asalnya mengambil alih sebuah parti lama, Parti Pekerja Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978 oleh seorang wanita yang dipercayai bukan beragama Islam, Gangga Nayar.

"Sudah lebih setahun sejak penjenamaan semula Parti Pekerja Pekerja Malaysia yang diasaskan oleh Puan Gangga Nayar pada Januari 1978, kepada Parti Amanah pada 16 September 2015.

"Mesyuarat Agong Luar Biasa Parti Pekerja pada 8 September 2015 meluluskan penukaran nama, logo dan bendera parti.

"Benarkah Parti PAN ini sebuah Parti Islam? Keahliannya macam mana? Susunan kepimpinannya macam mana? Siapa bos yang paling bos? Ulama duduk di mana? Pemimpin dilantik masa mana? Pemilihannya bila?," soal pemimpin PAS itu.

Jelas Ahmad Amzad, persoalan tersebut tercetus ekoran kegagalan PAN sendiri untuk mempamerkan perlembagaan parti itu kepada khalayak ramai berbanding parti-parti lain yang diuruskan secara profesional serta mudah diakses oleh masyarakat umum.


Selain itu, Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu itu juga mempersoal tentang kelibat dua pemimpin tertinggi PAN, Presidennya, Mohamad Sabu, dan Penasihat Umumnya, Ahmad Awang, yang tenggelam di dalam bayang-bayang pemimpin PAN yang lain.

"Rakyat memerhati Salahudin Ayub, Husam kelihatan lebih menonjol daripada Presiden PAN, Mohd Sabu sendiri. Yang ditonjolkan paling tinggi dalam hierarki sebagai ulama, Ustaz Ahmad Awang, hampir tidak kedengaran suaranya," ujarnya lagi.

Kata Ahmad Amzad, PAN perlu mengadakan pemilihan segera ekoran tanggapan yang memperlihat seolah-olah parti itu berpecah kepada beberapa kumpulan tersendiri dan bagi memberikan ruang kepada rakyat untuk menilai tentang kepimpinan PAN. - Kedahnews.com