Pasar Malam Brinchang Di Cameron Highlands Pindah Ke Lokasi Baru


CAMERON HIGHLANDS – Tapak Pasar Malam Brinchang di sini akan dipindahkan ke satu lokasi baharu tahun depan sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya memberi peruntukan awal RM1 juta bagi kerja-kerja pembersihan tapak seluas 2.02 hektar berhampiran Sungai Mensun di sini.

“Saya telah minta Majlis Daerah Cameron Highlands melantik perunding dan projek ini ditender secepat mungkin. Jangkaan kerja pembersihan tanah bermula seawal Jun ini dan siap dalam setahun lagi,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan ke sebuah flat perumahan di Brinchang sempena lawatan kerjanya semalam.

Menurut Noh, sebanyak 300 gerai akan dibina di lokasi baharu tapak pasar malam itu bagi keselesaan peniaga.

“Saya difahamkan tapak pasar malam ini telah tujuh kali berpindah. Jadi kita harap tapak pasar malam yang baharu ini akan menjadi tapak kekal,” katanya.

Pasar Malam Brinchang antara tarikan pengunjung ke kawasan tanah tinggi itu khususnya pada Sabtu dan Ahad.

Dalam lawatan kerjanya itu, Noh turut meluluskan peruntukan RM1.15 juta bagi tiga projek kecil di Tanah Rata iaitu melebarkan jalan masuk ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah; membina tempat letak kenderaan di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan menaik taraf tandas awam.

Selain itu, beliau turut meluluskan hampir RM700,000 bagi tiga projek penyelenggaraan perumahan. – BERNAMA