RAKYAT Jerman memegang pasport 'paling kuat' di dunia dan boleh berkunjung hampir ke serata dunia tanpa perlu memohon visa.
Menurut laporan indeks yang dikeluarkan oleh Arton Capital's Passport Index, rakyat Jerman boleh mengembara ke 157 buah negara tanpa visa, sekali gus menjadikan penduduk negara Eropah itu memiliki pasport paling istimewa di planet ini.
Selain Jerman, pasport rakyat Sweden dan Singapura juga memiliki keistimewaan yang sama untuk berada di kedudukan kedua carta.
Britain menduduki tempat ketiga disusuli Denmark, Finland, Perancis, Sepanyol, Switzerland, Norway dan Amerika Syarikat.
Bagi pemegang pasport Britain, mereka perlu memiliki beberapa kelulusan termasuk visa jika berkunjung ke Iran, Mongolia dan Turki.
Namun pemegang pasport Jerman tidak perlu berbuat berbuat demikian jika berkunjung ketiga-tiga negara terbabit.
Afghanistan menduduki carta paling bawah apabila negara itu hanya boleh berkunjung ke tiga buah negara tanpa visa iaitu Haiti, Micronesia dan St. Vincent & The Grenadines.
Indeks tersebut yang membezakan pasport 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk enam wilayah lain iaitu Hong Kong, Taiwan, Macau, Kosovo, Palestin dan Vatican, turut menyenaraikan negara paling mudah dikunjungi.
Sebanyak 13 buah negara mengungguli senarai tersebut kerana pelancong tidak perlu memohon visa sekiranya berkunjung ke negara terbabit.
Negara berkenaan adalah Kemboja, Comoros, Guinea Bissau, Madagascar, Mauritania, Micronesia, Mozambique, Samoa, Seychelles, Timor Leste, Togo, Tuvalu dan Uganda.
Manakala kategori negara paling sukar dikunjungi pula adalah Afghanistan, Somalia dan Turkmenistan kerana pengunjung dari setiap negara perlu memohon visa jika memasuki negara itu.
Sumber: mStar