PBB Akan Bawa Keluar 2 Warga Malaysia Di Korea Utara


KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) akan membantu melicinkan proses membawa keluar dua petugas mereka yang merupakan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Sumber PBB memberitahu Bernama, pihaknya di New York telah menghubungi dua wanita rakyat Malaysia dalam lingkungan umur 30-an itu sebaik sahaja notis sekatan keluar oleh Pyongyang dilaporkan media antarabangsa.

“Mereka berada dalam keadaan selamat. Mereka bukan staf Kedutaan Malaysia. Mereka adalah staf kami (PBB) yang dihantar ke Korea Utara untuk menjalani kursus berkaitan Program Makanan Sedunia,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, pihak PBB akan menghantar wakil bagi melicinkan proses membawa keluar kedua-dua wanita tersebut daripada negara rejim komunis tersebut dalam masa terdekat.

Dua wanita itu merupakan antara 11 rakyat Malaysia yang terkandas berada di Korea Utara pada ketika ini selain tiga kakitangan kedutaan besar dan enam anggota keluarga kakitangan berkenaan.

Media rasmi Korea Utara, KCNA semalam melaporkan Pyongyang menyekat semua rakyat Malaysia meninggalkan negara itu selagi pembunuhan Kim Jong-nam di Kuala Lumpur tidak diselesaikan dengan baik. – BERNAMA