PDRM Antara Badan Keselamatan Terbaik Di Dunia


KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam memuji keberkesanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggap sebagai antara badan keselamatan terbaik di dunia.

Beliau berkata kecemerlangan PDRM boleh dilihat melalui peranannya memastikan keamanan dan keselamatan negara hingga boleh dinikmati rakyat melalui kehidupan seharian.

“Tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab memperkecilkan PDRM sangat tidak wajar, banyak jasa polis kepada rakyat untuk memastikan keamanan khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya ini terkawal.

“Kita sepatutnya menghargai dan berterima kasih kepada polis atas bakti mereka dalam memelihara keamanan sejagat,” katanya ketika berucap dalam program Jalinan Mesra sempena Peringatan Hari Polis ke-210 Polis Kuala Lumpur di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Penasihat Pembangunan dan Iktisas di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Tengku Adnan berkata bagi menghargai PDRM, kementeriannya sedia menawarkan pelbagai kemudahan antaranya memberi keutamaan kepada anggota polis dalam projek perumahan kos rendah dan mampu milik seperti Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan dan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

“Projek-projek ini mendapat sambutan hangat apabila banyak unit terjual tetapi difahamkan kurang permohonan daripada badan-badan beruniform seperti polis.

“Saya menyeru agar semua anggota polis untuk membuat permohonan bagi mendapatkan rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya menerusi Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga akan memperkasakan kerjasama dengan PDRM khususnya bagi membanteras jenayah di ‘kawasan panas’ sekitar ibu negara. – BERNAMA