KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta api mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap pertuduhan menipu Agrobank dengan membuat permohonan pinjaman kewangan berjumlah RM70,000 menggunakan dokumen palsu.
Nor Diyana Md Kasim, 31, didakwa memperdayakan pihak kewangan Agrobank sehingga mempercayai bahawa dokumen slip gaji dan surat pengesahan majikan bagi permohonan pinjaman RM70,000 jenis Agro Cash-I yang dikemukakan tertuduh adalah dokumen tulen.
Wanita itu dituduh melakukan kesalahan itu di Agrobank Cawangan Pusat Bandar Utara Selayang, Batu Caves di sini pada 6 Disember 2012 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin menawarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA