Pendidikan Cina Paling Gelap Di Zaman Mahathir, Anwar Bergabung - MCA Kedah


ALOR SETAR - MCA Kedah mendakwa bahawa pendidikan bagi masyarakat Cina suram dan gelap ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara ini.

Timbalan Pengerusi MCA, Dato' Dr. Leong Yong Kong berkata, Anwar yang pada suatu ketika merupakan Menteri Pendidikan telah memandang sempit kepada kepentingan pendidikan bagi masyarakat Cina dan amat mengecewakan.

"Bila Anwar dengan Tun M bergabung, ia adalah masa paling teruk dan paling gelap untuk pendidikan bagi masyarakat Cina. Ketika di zaman Tun M itu, Anwar memang pandang sempit pada pendidikan bagi masyarakat Cina," katanya ketika diwawancara Kedahnews.com, baru-baru ini.


Namun begitu kata Dr. Leong, pendirian Mahathir terhadap masyarakat Cina telah berubah sedikit apabila beliau memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri yang mengakibatkan bangsa Melayu marah padanya.

Jelas beliau, ekoran kemarahan masyarakat Melayu padanya ketika itu, Mahathir mengambil pendekatan mengambil hati orang Cina dengan memberi sedikit ruang kepada mereka, khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Hasilnya, masyarakat Cina ketika itu memberikan undi kepada BN pada pilihan raya 1999 yang menyaksikan ramai pengundi Melayu tidak berpihak kepada kepimpinan bekas Perdana Menteri itu, sekaligus memastikan Mahathir terus berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Justeru itu, Exco Kerajaan Negeri itu menjangkakan sekiranya Mahathir dan Anwar sekali lagi bergabung membentuk kerajaan bersama, bidang pendidikan bagi masyarakat Cina akan kembali gelap semula seperti dahulu.

Jelasnya, ia adalah berbeza dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dilihat memegang pendirian terbuka dan memberi peluang kepada semua kaum di negara ini walaupun mengutamakan bangsa Melayu.

"Bila di zaman Datuk Seri Najib, barulah nampak masa depan yang lebih cerah dalam bidang pendidikan masyarakat Cina. Ini bukan sebab Tun M, ini disebabkan oleh Najib sendiri.

"Dari sudut Najib, kita sudah tahu. Beliau memang mementingkan kesamarataan bidang pendidikan bagi semua kaum. Beliau pegang pada prinsip bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau perlu berlaku adil kepada semua pihak," ujar beliau.


Mahathir sebelum ini bertindak keluar UMNO, mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa meletak jawatan Menteri Besar Kedah setelah majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri hilang kepercayaan padanya.

Pengerusi PPBM itu kemudian menjalin hubungan erat dengan musuh-musuh tradisinya seperti Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu bagi tujuan menjatuhkan Barisan Nasional selepas usahanya memaksa Najib meletak jawatan seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, gagal.

PPBM kini menganggotai Pakatan Harapan yang dikuasai DAP selepas parti pimpinan Mahathir itu menolak pelawaan untuk bergabung di dalam Gagasan Sejahtera yang diketuai oleh PAS. - Kedahnews.com