Pengasuh Didakwa Sebabkan Bayi Usia 6 Bulan Melecur


KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini semalam, atas pertuduhan telah mengakibatkan lecur ke atas seorang bayi lelaki.

Norashikin Roslan, 35, didakwa mengakibatkan lecur ke atas seorang bayi lelaki berusia enam bulan 17 hari di dalam sebuah rumah, di Pangsapuri Sri Mutiara, Taman Ukay Bistari, Ampang, di sini pada 2 Disember tahun lepas.

Wanita itu yang telah berkahwin didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria memohon mahkamah membenarkan jaminan paling minimum dengan alasan penjamin yang merupakan suami tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,700 sebulan dan menyara enam anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

“Penjamin memberi aku janji untuk memastikan kehadiran anak guam (isterinya). Jaminan tidak seharusnya bersifat menghukum dan membebankan penjamin, selain anak guam saya juga hadir secara sukarela ke mahkamah hari ini,” kata peguam itu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April untuk sebutan semula kes tertuduh yang hadir bersama suaminya.

Difahamkan tertuduh merupakan suri rumah dan mengasuh dua kanak-kanak iaitu mangsa dan abang mangsa yang berusia empat tahun, di rumahnya. – BERNAMA