Pengusaha Stesen Minyak Setuju Penetapan Harga Siling Bahan Api


PUTRAJAYA – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bersetuju dengan pendekatan baharu penetapan harga siling bahan api yang akan diumumkan setiap minggu mulai April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, maklum balas tersebut diterima ketika mesyuarat bersama wakil persatuan berkenaan dua hari lepas, yang turut menyentuh mengenai mekanisme penetapan harga siling baharu.

Hamzah berkata, pertemuan dengan syarikat pengeluar minyak akan diadakan di kementeriannya hari ini berhubung pendekatan baharu tersebut.

“Kita akan umumkan kaedah yang lebih jelas kepada mereka dan semua pengguna,” katanya kepada media selepas merasmikan program Citarasa Malaysia dan Sehari Bersama Usahawan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Bimbingan KPDNKK di sini, semalam.

Hamzah baru-baru ini berkata, harga siling bahan api akan diumumkan setiap minggu mulai April ini bagi memastikan pengguna mengetahuinya serta mengelak daripada berlaku keraguan.

Mengenai tempoh sebulan yang diberikan kepada peniaga untuk meletakkan label pada berus, termasuk mengkhususkan produk daripada bahan berasaskan babi atau anjing, Hamzah berkata, ia berakhir semalam.

“Mulai esok peniaga yang gagal untuk melabel produk berasaskan bahan tersebut akan dikenakan tindakan mengikut akta sedia ada,” katanya.

Mengenai program Citarasa Malaysia, Hamzah berkata, ia bertujuan mempromosi pelbagai produk PKS tempatan dengan kerjasama pasar raya tempatan serta asing.

Sehingga akhir tahun lepas, katanya, 1,310 pembekal daripada usahawan PKS tempatan telah membekalkan produk mereka ke pasar raya besar asing seperti Giant, Tesco, Aeon Big dan Aeon Co, dengan 787 daripadanya usahawan PKS Bumiputera.

“Kementerian menyedari jumlah tersebut tidak mencukupi dan boleh dipertingkatkan. Kita sedang giat melaksana pelbagai inisiatif bagi meningkatkan peratusan penyenaraian tetap produl PKS di pasar raya besar terbabit,” katanya. – BERNAMA