Peniaga Di Kedah Diingatkan Jangan Sorok Bekalan Minyak Masak

Fairos Hamid (kanan) menunjukkan bekalan minyak masak paket yang sukar diperolehi.
ALOR SETAR – Orang ramai diminta membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket di mana-mana kedai runcit, pemborong mahu pun pasar raya.

Pengarah KPDNKK Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati mana-mana peniaga sengaja menyorokkan bekalan tersebut.

“Isu kekurangan bekalan minyak masak sama ada dalam paket ataupun botol di sekitar negeri ini tidak seharusnya berlaku. Walaupun kita menerima permintaan yang tinggi daripada pengguna di kawasan bandar dan luar bandar, tetapi ia masih terkawal dan mencukupi.

“Saya harap semua pengguna kalau mengalami masalah mendapatkan bekalan minyak masak itu supaya segera laporkan kepada pihak KPDNKK untuk memudahkan kita membuat pemantauan dan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu cemas dengan perkara itu kerana pihaknya akan memastikan bekalan minyak masak itu sampai kepada semua pengguna.

"Kita akan buat pemantauan dan kalau betul premis itu memang tidak dapat bekalan minyak masak, kita akan minta pembekal yang berdekatan untuk hantar minyak masak ke premis tersebut secepat yang mungkin.

“Tetapi sekiranya ada mana-mana peniaga yang sengaja menyorokkan bekalan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan dan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 Akta yang sama iaitu denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan individu atau sehingga tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.

Sementara itu, ditanya sama ada masalah kekurangan bekalan minyak masak paket seperti yang didakwa ramai pengguna khusus di sekitar Baling adalah kemungkinan akan berlaku kenaikan harga bermula 1 April nanti, beliau enggan mengulas lanjut.

Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai bekalan minyak masak boleh melaporkan kepada KPDNKK melalui Facebook atau hubungi Bilik Gerakan KPDNKK Kedah di talian 04-7001745.

Sumber: Sinar Harian