Peniaga Di Kuala Ketil Beli Barang Runcit Di Thailand

Peniaga kecil terjejas ekoran kenaikan harga barang dan minyak serta kejatuhan nilai mata wang.
KUALA KETIL - Tidak tahan kenaikan berterusan harga barang, peniaga kedai makan di sekitar daerah ini mengambil alternatif membeli barangan runcit di Thailand.

Peniaga kedai makan, Mohd Hafizi Zainon, 37, berkata, kerajaan gagal mengawal harga barangan dari terus naik biarpun berkali-kali berjanji menjaga kebajikan rakyat.

Menurutnya, sebagai tanda protes, mereka mula membeli barangan di Thailand sejak sebulan lalu.

“Waktu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan, kerajaan maklum harga barangan kawalan tidak dinaikkan sesuka hati, tetapi kini bila minyak semua harga barang naik, di mana kawalannya?

“Sudah alang-alang harga kerap naik, lebih baik kita beli barangan harian di Thailand. Walaupun mata wang Malaysia jatuh mendadak tetapi itu sebagai protes terhadap kerajaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, barangan dibeli bagaimanapun hanya melibatkan makanan kering dan bukannya makanan basah.

“Barangan dibeli di Betong, Thailand ialah, cabai kering, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, gula, garam, ajinamoto dan beras.

“Harga di sana memang tak jauh beza dengan harga di Malaysia kerana mata wang kita jatuh, tetapi tindakan ini sebab kami sudah tak tahan dengan keadaan di Malaysia,” katanya.

Harga di Thailand lebih murah

Peniaga warung, Kamarudin Hamid, 55, berkata, peniaga terpaksa membeli barangan di luar negara ekoran kerajaan menaikkan harga kawalan.

Menurutnya, beberapa harga barang kawalan di Thailand lebih murah jika dibandingkan dengan negara ini.

“Contohnya harga minyak masak paket di Thailand mula murah. Harga minyak paket sekilogram di Malaysia ialah RM2.80 tetapi di sana harganya dalam kadar duit Malaysia ialah RM2.30.

“Selain itu, harga bawang merah besar juga murah jika dibandingkan dengan harga kerajaan jual. Satu gundi bawang merah besar dalam kuantiti tiga kilogram berharga RM3.30 jika di Thailand kuantiti sama dijual pada kadar RM2.80,” katanya.

Selain itu katanya, barangan minuman di Thailand juga lebih menjimatkan jika dibandingkan dengan harga negara sendiri.

“Cawan minuman, plastik minuman, beg plastik dan barangan plastik lain di Thailand memang murah. Di Malaysia kuantiti 100 cawan plastik dengan saiz 22 ML berharga RM 19.50.

“Tetapi Saiz dan kuantiti sama di Thailand yang dibeli pada kadar mata wang Malaysia hanya berharga RM15. Beli di sana boleh bawa balik keuntungan modal,” katanya.

Tiada pilihan lain

Peniaga laksa, Roshanar Ridzuan, 41, berkata, laksa keluaran Thailand pilihan untuk dibeli memandangkan ia dijual pada harga RM2 berbanding RM 2.50 di Malaysia.

“Saya beli sejak harga RON 95 naik kepada RM 2.30 seliter, saya pilih untuk beli laksa termasuk beberapa barangan lain di sana,” katanya.

Peniaga keropok lekor, Mazlan Mat Isa, 37, berkata, bagi menampung harga ikan selayang dijual mahal, bekalan ikan diperoleh dari negara jiran yang didapati daripada orang tengah.

“Terpaksa buat macam itu sebab selepas pelbagai kos naik, pendapatan keropok lekor saya terjejas,” katanya.

Menurutnya, bekalan ikan diambil melalui pasar Betong termasuk di sempadan Pengkalan Hulu Perak.

“Jarak perjalanan sini dengan Betong Thailand tidak jauh, bagi saya lebih berbaloi ambil bahan mentah di sana,” katanya.

Peniaga laksa, Rokiah Salleh,60, berkata, keuntungan diperoleh hanya mampu digunakan sebagai pusingan modal.

“Makcik terpaksa ambil telur ayam di Betong, Thailand kerana harga dijual berpatutan dan tidak membebankan. Di Thailand, sepapan dijual dengan harga RM 8.30 manakala di sini mencecah antara RM10 hingga RM11.

“Bila beli di sana ada juga keuntungan untuk diri sendiri, tetapi masalahnya sampai bila nak bergantung dengan barangan negara jiran?,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Cawangan Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, peniaga tiada pilihan lain untuk mengekalkan survival perniagaan masing-masing melainkan mendapatkan sumber lain dengan harga murah .

“Kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga minyak yang tidak menentu menyebabkan harga barang meningkat hingga menyusahkan peniaga kecil.

“Ikhlas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan sesuatu supaya harga barang tidak melonjak yang akhirnya merugikan rakyat serta menjejaskan Barisan Nasional,” katanya.

Sumber: Sinar Harian