Penjual Ikan Maut Dihentak Anak Sakit Mental Dengan Batu Bata


KOTA BHARU - Seorang penjual ikan maut selepas dihentak di kepala dan muka dengan menggunakan batu-bata oleh anak lelakinya yang dipercayai sakit mental di Kampung Banggol Jenereh, Tanah Merah, awal pagi semalam.

Ketika kejadian jam 4 pagi itu, mangsa Fauzi Mamat, 62, sedang tidur bersama anaknya tiba-tiba dihentak dengan menggunakan batu yang diambil daripada alas kaki katil di dalam bilik berkenaan.

Turut berada bersama mereka ketika itu, isteri mangsa juga ibu suspek yang berusia 54 tahun.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk Hospital Universiti Sains Malaysia, di sini, kerana kecederaan parah yang dialaminya, namun dia kemudian meninggal dunia pada jam 11.50 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, susulan itu suspek yang berusia 22 tahun ditahan polis untuk siasatan lanjut. Suspek pernah belajar di sebuah sekolah pondok di Pasir Tumboh, di sini, tetapi tidak menamatkan pengajiannya kerana penyakit yang dialami.

“Suspek dipercayai mengalami gangguan halusinasi sejak November tahun lalu dan hanya mendapatkan rawatan secara tradisional serta tidak pernah dirawat di mana-mana hospital berhubung penyakitnya itu.

“Suspek ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Kampung Kedai Buluh, Badang, selepas selesainya proses bedah siasat sebentar tadi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian