Perkeso Kedah Beri Amaran Majikan Gagal Carum Pekerja


JITRA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah mengingatkan majikan yang belum mendaftar dengan pertubuhan itu supaya berbuat segera agar tindakan tidak diambil dalam Ops Kesan 2017 yang bermula 1 April.

Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf berkata sehingga kini lebih 100 majikan di negeri ini dikenal pasti belum mendaftar dengan Perkeso negeri walaupun tempoh pemutihan diberi sebulan sejak 1 Mac lalu.

“Dalam tempoh itu, kita mengingatkan mereka melalui brosur, risalah dan pertemuan supaya semua majikan yang layak dapat berdaftar.

“Bermula 1 April ini jika didapati mereka masih gagal mendaftar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan kompaun terhadap majikan antara RM500 dan RM4,000 bergantung kepada kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Advokasi Perkeso bersama Majikan di kilang Permintex Furukawa Autoparts Malaysia Sdn Bhd di sini, semalam.

Katanya majikan juga boleh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 iaitu gagal mendaftar perusahaan dan Seksyen 5 akta sama iaitu gagal mendaftar pekerja dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mamsor berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 56 majikan untuk diambil tindakan di daerah Kota Setar kerana sehingga kini belum mendaftar perusahaan mereka.

Katanya, selain alasan tidak tahu dan sikap ambil mudah, kegawatan ekonomi, kenaikan harga barang serta dasar kerajaan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga menjadi antara faktor keengganan majikan mencarum.

Mengikut statistik 2016, 98 kes majikan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 4 kerana gagal mendaftar perusahaan dengan jumlah kompaun sebanyak RM62,250,
manakala Seksyen 5 melibatkan 15 kes kerana tidak mendaftar pekerja dengan jumlah kompaun melebihi RM7,600.

Mamsor berkata, seramai 50 penguat kuasa Perkeso negeri ini akan terlibat dalam Ops Kesan ini yang melibatkan Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi.

Beliau juga berkata majikan kini tidak lagi perlu ke pejabat Perkeso daerah bagi membuat caruman pekerja kerana mereka boleh menjelaskan bayaran caruman menerusi dalam talian di laman sesawang Perkeso www.iperkeso.my. – BERNAMA