DIA pernah gagal dalam perniagaan hingga terpaksa menjual sayur dan
surat khabar lama. Dia pernah diuji apabila mempunyai sumber kewangan
terhad untuk membiayai pembedahan pintasan jantung ayah kesayangannya.
Paling menyedihkan suami yang menjadi sumber inspirasi dan tempat dia
mencurahkan kasih dan sayang, hilang berhari lamanya dan hanya
dimaklumkan terbujur kaku di bilik mayat hospital akibat diserang sakit
secara tiba-tiba!
Namun bagi Zarinnah Mohideen, dia tidak boleh terus hidup dengan duka
dan kesedihan. Akhirnya dengan semangat serta kecekalan, wanita berusia
39 tahun ini nekad tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Dengan
berbekalkan ribuan set risalah percuma (leaflet), dia pergi
mengagihkannya dari satu rumah ke satu rumah, dari satu peti surat ke
satu peti surat, bagi mempromosikan perniagaan katering perkahwinannya
yang diusahakannya itu.
Hasilnya dalam tempoh empat tahun saja, ketika usianya baru menginjak 26
tahun, perniagaan katering yang diusahakannya telah membawa pulangan
lebih RM1.5 juta!
Dan hari ini, syarikatnya, ZARLITH EVENTS AND MANAGEMENT SDN BHD telah
memiliki sebuah gudang yang terisi ribuan pinggan mangkuk, ratusan helai
pakaian pengantin, pelbagai set pelamin dan kanopi. Tak terkecuali
sebuah banglo mewah yang dibuat khusus untuk memenuhi permintaan mereka
yang mendambakan sebuah pakej perkahwinan yang eksklusif dan serba mewah
di sebuah kawasan elit di Ampang, Selangor.
"Semua ini bukan terjadi dengan sekelip mata…saya masih ingat bagaimana
kami berlima adik beradik dan mak ayah terpaksa berhimpit-himpit tinggal
di flat Sri Terengganu dekat Sentul yang cuma mempunyai dua bilik tidur
itu.
"Pada satu ketika, saya pernah baring di ribaan emak sambil menangis
kerana memikirkan apalah agaknya masa depan kami bila mengenangkan ayah
yang ketika itu bertugas sebagai pemandu bas mini mula sakit-sakit, ibu
yang tak bekerja, adik beradik masih di bangku sekolah dan sebagainya,"
katanya sayu.
Mengenai ‘rahsia’ kejayaannya dalam bidang katering terutama bila
berhadapan dengan beratus-ratus operator di ibu kota, Zarinnah berkata
beliau tidak menganggap itu sesuatu halangan besar kerana ia secara
tidak langsung memberi motivasi baginya untuk memberi perkhidmatan
terbaik untuk pelanggannya.
” Apapun saya percaya, kesanggupan saya menyediakan pakej perkahwinan
yang serendah RM8.80 untuk mereka yang mahu mendirikan rumahtangga tak
banyak sikit memberi ‘berkat’ dalam perniagaan saya. Saya dulu bukan
orang senang dan saya faham bagaimana sukarnya untuk mencari duit
membiayai kos perkahwinan khususnya bagi mereka yang tinggal di ibu
kota.
” Tak mengapalah…walaupun ‘rugi’ sedikit tetapi Alhamdulillah Allah beri
dalam bentuk lain. Anda lihat sendiri daripada pagi sampai ke petang
pejabat saya tak putus-putus dikunjungi mereka yang nak buat ‘food
testing’. Bagi mereka yang mahukan perkahwinan mewah dan eksklusif, saya
juga ada sediakan pakej untuk mereka. Yang pasti walaupun serendah
RM8.80, saya langsung tidak pernah berkompromi bab kualiti, makan mesti
sedap, layanan mesti bagus, harga mesti munasabah…kalau pegang prinsip
itu, tiada apa yang patut kita takut biarpun ramai pesaing di luar
sana,” kata Zarinna yang mengakui syarikatnya mampu mengendalikan jamuan
hingga 21,000 orang pada satu-satu masa, pergh!
Aku salute dengan iltizam dan keazaman Zarinna. Ternyata walaupun diuji
dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang bukan sikit, budak flat Sentul
ni berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil kalau kita berusaha
dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Umur 26 dah pegang wang berjuta…tak
silap aku masa umur macam tu masih lagi terkial-kial bawa motor Ex5 gi
kerja, adeh deh deh!
Salute lu Zarinnah Arabath, ini baru champion!