Gambar Hiasan |
Pengerusi, Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Musa Kamis berkata, penyemburan racun menggunakan drone lebih efektif kerana semburannya lebih sekata, selain menjimatkan masa dan tenaga, berbanding guna tenaga buruh.
“Kebanyakan petani uzur dan mengupah pekerja, dengan adanya drone dapat atasi masalah kekurangan tenaga kerja, dan juga dapat elak pengambilan buruh asing bekerja di sawah,” katanya, kelmarin.
Menurutnya, perkhidmatan drone yang diperkenalkan oleh Mada melalui anak syarikatnya, MadaCorp akan menjalani tempoh percubaan selama dua musim di kawasan estet padi NKEA, seluas 2000 hektar.
“Tiada paksaan kepada petani terlibat sama ada mahu gunakan drone atau manual. Demonstrasi pengendalian drone telah diadakan di 27 PPK kawasan Muda dan mendapat reaksi yang positif,” katanya, yang mewakili 55,000 petani seluruh Kedah/Perlis.
Musa berkata, sebuah drone dapat menampung penggunaan 10 liter racun yang mampu digunakan untuk keluasan dua hektar sawah.
“Dalam tempoh sehari sebanyak 20 hektar dapat di sembur racun menggunakan drone berbanding tenaga manusia,” katanya.
Musa (tengah) menerangkan penggunaan kaedah drone pada sidang media |
“Paras ketinggian drone ketika melakukan semburan hanya sekitar tiga meter dan dilakukan oleh pengendali terlatih, seterusnya dapat mengelak semburan tersebar daripada sasaran. Manakala racun yang digunakan adalah sama jenis dengan racun kaedah manual dan tidak memudaratkan,” katanya.
Menurutnya, keberkesanan penggunaan drone ini juga diyakini dapat meningkatkan hasil padi apabila semburan lebih sekata dan dilakukan dalam tempoh yang cepat.
“Ada masanya hasil padi berkurangan disebabkan oleh semburan racun yang lambat atau tidak dapat dilakukan dalam tempoh ditetapkan, jika guna drone lebih jimatkan masa dan cepat,” katanya.
Musa berkata, perkhidmatan drone ditawarkan pada harga RM20/relung (3.3 hektar) dan kos ini mampu dibayar oleh petani.
“Sebagai permulaan, tujuh buah drone akan memulakan perkhidmatan bagi kawasan seluas 2000 hektar musim ini, dan akan diperluaskan sekiranya mendapat sambutan petani. Bagi keseluruhan kawasan Mada seluas 100,000 hektar memerlukan 250 unit drone,” katanya.
Mengulas mengenai bantahan penggunaan drone oleh sekumpulan petani menerusi organisasi Badan Bertindak Petani Mada serta beberapa NGO, Sabtu lalu, Musa berkata, hanya segelintir yang menolak teknologi itu manakala sebahagian besar petani menyatakan persetujuan menggunakan drone.
“Saya bimbang bantahan itu bermotifkan kepentingan peribadi, sedangkan suara petani diwakili oleh PPK di setiap kawasan. Kami adalah badan rasmi yang menjaga kebajikan petani dan kepimpinan jawatankuasa dipilih sendiri oleh petani,” katanya.
Menurutnya, adalah sangat tidak wajar untuk mana-mana organisasi tampil menyatakan mereka mewakili suara petani Mada.
Sumber: Sinar Harian