Piala FA: Sukar, Namun Yakin Kedah Mampu Jinakkan Tuan Rumah


ALOR SETAR - Skuad Kedah diakui bakal menghadapi satu pertembungan yang sukar apabila bertemu Perak bagi Pusingan Ke-3 aksi Piala FA pada Sabtu ini, namun pasukan bola sepak kebanggaan anak Jelapang Padi itu dijangka mampu menjinakkan pasukan tuan rumah di laman mereka sendiri.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, walaupun beberapa pemain skuad Hijau Kuning masih lagi mengalami kecederaan, tetapi skuad Helang Merah itu berupaya beraksi konsisten mengekalkan kekuatan pasukan.

"Masih ada pemain yang cedera, namun kita tidak ada masalah kerana keseluruhan 26 pemain yang didaftarkan mempunyai keupayaan dan kekuatan yang hampir sama.

"Satu perlawanan yang sukar namun kami yakin untuk menang ke atas Perak pada Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal, hari ini.

Kata Aminuddin, keseluruhan pemain Kedah sama ada kesebelasan utama mahupun pemain di bangku simpanan memiliki keupayaan yang hampir sama dan ia menjadi antara faktor utama pasukan tersebut dijangka mengekalkan aksi cemerlang mereka.

Pasukan Helang Merah bakal bertandang ke Ipoh bertemu pasukan Perak bagi perlawanan Pusingan Ke-3 aksi Piala FA pada Sabtu ini bagi memastikan tempat antara lapan pasukan terbaik yang mara ke peringkat suku akhir kejohanan tersebut. -Kedahnews.com