PKR Enggan Serah Balik Kerusi Kepada PAS


ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak akan mengalah dan menyerahkan kembali kesemua lapan kerusi yang diduduki di negeri tersebut kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 akan datang.

Pengerusi PKR negeri tersebut, Ab Aziz Ab Kadir berkata, walaupun terdapat beberapa desakan dari ahli PAS supaya kerusi tersebut dilepaskan, namun mereka tidak akan berbuat demikian.

“Kita tidak kisah apa gesaan yang timbul. Namun PKR tetap bertegas akan pertahankan kerusi yang kami ada sekarang iaitu tiga di Parlimen dan lima di DUN,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa hubungan antara kedua parti tersebut bakal diputuskan pada Muktamar PAS hujung April ini.

Malah turut tersebar khabar angin kononnya hubungan antara mereka bakal berakhir tidak lama lagi ekoran keengganan PKR untuk meninggalkan sekutu kuat mereka, DAP.

Walau bagaimanapun, Ab Aziz menyatakan bahawa beliau terbuka dengan segala keputusan yang bakal dibuat parti Islam tersebut dan tidak akan sesekali menarik diri daripada mempertahankan kerusi sedia ada mereka.

“Kita terima, tiada masalah kerana kita berada dalam satu blok pembangkang. Jika keputusan (menolak kerjasama) berlaku pun, kita tetap akan lawan (pertahan kerusi), buat masa ini kita tunggu keputusan muktamar,” katanya.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada PKR Kedah sedia untuk memberi kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya yang lalu kepada PAS Kedah ekoran dari desas-desus yang mengatakan wujud tuntutan yang sama di negeri ini.

Namun begitu, berkemungkinan dijangka PKR sedia memberi beberapa kerusi mereka kepada parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), khususnya di Dun Bandar Baharu, Parlimen Langkawi dan lain-lain lagi. -Kedahnews.com