PKR Kata Manifesto PAS Hanya Jangka Pendek, Tak Meluas


ALOR SETAR - PKR memandang remeh pada manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang diumumkan PAS Terengganu baru-baru ini dengan menyifatkannya sebagai penyelesaian jangka pendek dan tidak meluas.

Malah Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menjelaskan bahawa manifesto PAS itu seolah-olah "dikitar semula" dari manifesto yang digunakan parti Islam itu pada PRU pada tahun 1999 dahulu.

"Saya harap pimpinan PAS akan mengeluarkan satu manifesto yang lebih besar skopnya daripada apa yang telah diumumkan sebab lima perkara yang diumumkan nampaknya seolah-olah manifesto yang diletak semula untuk menunjukkan kesungguhan PAS untuk laksanakan janji tahun 1999 dulu.

"Kalau mengambil kira keperluan baru di zaman tahun 2017-2027, saya rasa keperluan di negeri Terengganu adalah berbeza," katanya hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

PAS Terengganu mendedahkan lima manifesto awal dalam usaha menawan negeri itu pada PRU ke-14 antaranya pemberian satu lot tapak rumah bagi setiap rakyat, pemberian geran tanah kekal dan caj percuma rawatan di wad kelas tiga di semua hospital kerajaan.

Selain itu, PAS juga menggariskan peruntukkan RM300 untuk golongan muda mendapatkan lesen motosikal dan karnival kahwin kali pertama secara percuma di setiap Dun.

Mengulas lanjut, meskipun Azan tidak menolak manifesto berkenaan adalah semata-mata untuk PAS mendapat maklum balas dari rakyat di negeri itu.

Namun begitu, beliau berpandangan bahawa tindakan PAS itu adalah tidak wajar ekoran parti itu pernah mentadbir Kerajaan Negeri Terengganu dan sudah tentu arif tentang keperluan serta kehendak rakyat tempatan.

"Parti-parti yang lain itu bolehlah kata menunggu respons daripada awam untuk membentuk manifesto tetapi parti-parti besar tidak perlu menunggu pandangan orang ramai terutama yang pernah jadi kerajaan atau kerajaan sekarang.

"BN adalah kerajaan, sepatutnya tidak perlu menunggu respons awam dan PAS yang pernah jadi kerajaan sepatutnya ada mekanisme untuk memahaminya," katanya lagi.

PAS sebelum ini dalam kenyataannya menjelaskan pendirian untuk mempertimbang hubungannya dengan PKR ekoran parti itu dilihat bagai 'duri dalam daging' bagi PAS kerana membentuk sekutu dengan dua musuhnya, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Sehingga kini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai masa depan hubungan antara kedua parti itu, namun Pakatan Harapan yang diterajui DAP masih mengharap agar PAS kembali bersekutu dengan mereka menjelang PRU ke-14 nanti. - Kedahnews.com