PKR Risau Mahathir "Kacau" Kerusi Padang Rengas?


ALOR SETAR - PKR Perak menegaskan bahawa kerusi Parlimen Padang Rengas merupakan kerusi tradisi yang ditandingi parti itu dan tidak akan diberikan kepada mana-mana pihak termasuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, PKR telah menetapkan diri untuk tidak berganjak dari bertanding merebut parlimen tersebut dari penyandangnya, Datuk Seri Nazri Aziz.

"PKR akan bertanding memandangkan itu adalah kerusi tradisi buat kami," tegasnya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal pro-pembangkang, semalam.

Tegas Siti Aishah, PKR malah telah mengenal pasti dan mempersiapkan calonnya bagi kawasan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak dan tidak mahu kuota bertanding parlimen itu dirampas dari tangan PKR.

"PKR telah mempersiapkan calon-calon yang layak untuk menggalas tugas. PKR melalui pimpinan cabang kini sedang bergiat aktif berkhidmat untuk rakyat di Parlimen dan DUN di Padang Rengas walaupun tarikh PRU14 masih lagi tidak menentu.

"PKR melalui jentera cabang telah berjaya memasuki dan menghidupkan ranting-ranting di kawasan UMNO," ujarnya.

Nazri yang juga merupakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ini mencabar Mahathir untuk bertanding menentangnya di Parlimen Padang Rengas ekoran beliau mendapat maklumat tentang Pengerusi PPBM itu yang dijadualkan turun berkempen di kawasan tersebut pada 25 Mac ini.

Walau bagaimanapun, Mahathir sebaliknya mencabar Nazri untuk bertanding "kawasannya" di Parlimen Langkawi.

Namun difahamkan Nazri tidak memberi reaksi terhadap cabaran tersebut kerana mendakwa cabarannya mengajak Mahathir bertanding di Padang Rengas adalah semata-mata untuk membuat Pengerusi PPBM itu sakit hati. - Kedahnews.com