Polis Kedah Cari 2 Individu Bantu Siasatan 2 Kes Dadah


SUNGAI PETANI – Polis Kuala Muda ingin menghubungi dua individu bagi membantu siasatan berhubung dua kes dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, individu pertama dicari ialah wanita warga Kemboja, Pen Sok, berumur lingkungan 40-an, bagi membantu siasatan kes dadah di Sungai Petani.

“Alamat terakhir wanita itu ialah Jalan Sungai Tukang 2, Kawasan Perindustrian Ringan Sungai Tukang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Insp Noor Hastikah Hassan di talian 04-4299222 sambungan 2112,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Md Zukir berkata, bagi kes kedua, polis sedang mengesan lelaki tempatan, Ahmad Zarin Abdullah, 45, bagi membantu siasatan kes dadah di Kulim.

“Saksi yang beralamat terakhir di Kampung Paya Suri, Bedong, dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 12 Mac ini berhubung kes di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Bagi kes kedua, maklumat boleh disalurkan kepada Insp Siti Salwa Abdul Hamid dari BSJN Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, di talian 04-5382222,” katanya. – BERNAMA