Polis Tahan 6 Pengedar Dadah Di Arau


ARAU – Polis menahan enam pengedar dadah dan 27 individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan sekitar kawasan Kubang Siput di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis DSP Azizan Said berkata dalam operasi enam jam bermula 7 pagi itu, polis menyerbu lokasi berasingan dan merampas keseluruhan 149.8 gram (g) dadah jenis heroin dan 4.7g syabu.

“Dalam serbuan pertama di tepi jalan Kubang Siput, polis menjumpai dua peket plastik berisi dadah jenis heroin seberat 86.6g serta lapan peket plastik kecil syabu seberat 2.9g disembunyikan di dalam beg pinggang yang dipakai seorang lelaki berumur 28 tahun yang ditahan pada 11.30 pagi.

“Susulan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah pondok di kebun getah berhampiran dan menahan lima lelaki yang juga disyaki mengedar dadah pada kira-kira 11.45 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini semalam.

Polis kemudiannya menemui satu peket plastik berisi heroin seberat 19.1g disembunyikan di dalam beg kain merah yang dipegang seorang suspek lelaki berumur 29 tahun dan merampas 22 peket lutsinar berisi dadah heroin seberat 18.4g yang disembunyikan pada badan seorang lelaki berumur 42 tahun.

Selain dua lelaki yang ditahan di pondok berkenaan, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 32 tahun turut diberkas di dalam pondok itu, katanya.

“Lapan peket plastik dadah heroin seberat tujuh gram dirampas daripada beg sandang lelaki 21 tahun itu, manakala seorang lagi lelaki berusia 26 tahun dan 32 tahun ditahan kerana memiliki 10 peket dadah heroin seberat 14g serta empat peket syabu seberat 1.8g.

Katanya, polis turut menahan 27 lelaki yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di kawasan sama dengan ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif heroin dan syabu.

Beliau berkata, kebanyakan daripada pengedar dan penagih berkenaan bukan berasal dari kawasan berkenaan tetapi bergerak secara kecil-kecilan bagi mengelak dikesan pihak polis.

Kesemua 33 individu yang dicekup berusia antara 19 hingga 56 tahun bekerja sebagai penoreh getah, buruh binaan dan penganggur. – BERNAMA