Polis Yan Cekup Suami Isteri Pungut Derma Untuk Mencuri


YAN – Sepasang suami isteri yang menyamar sebagai pemungut derma dicekup polis selepas terbabit dalam kes kecurian barang kemas di Kampung Batu 22, di sini.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim berkata suspek lelaki berusia 39 tahun dan isterinya, 23 tahun, ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh anak lelaki mangsa selepas barang kemas milik ibunya hilang sewaktu suspek datang ke rumahnya untuk memungut derma.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam (kelmarin), pengadu yang baru tiba di rumah ibunya ternampak suspek perempuan keluar dari pintu belakang rumah namun apabila ditanya, suspek mendakwa datang untuk memungut derma.

“Bagaimanapun suspek melarikan diri selepas ibu mangsa menjerit memberitahu gelang emasnya, dianggarkan bernilai RM1,000, telah hilang,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Guar Chempedak, pagi tadi, dan polis turut merampas dua paket dadah disyaki syabu seberat 0.25 gram pada suspek lelaki.

“Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod kesalahan berkaitan narkotik manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 49 tahun, kira-kira 12.30 tengah hari tadi, di sebuah kedai emas di Bedong, untuk membantu siasatan,” katanya.

Muhammad Halim berkata, suspek lelaki mengaku membawa isterinya untuk melakukan jenayah, iaitu berpura-pura meminta derma dengan membawa sijil palsu atas nama sebuah pertubuhan agama.

“Barang kemas yang dicuri kemudiannya dijual pada harga lelong RM930, dan hasil jualan digunakan untuk membeli barangan keperluan dan dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan dan akan memohon perintah reman,” katanya. – BERNAMA