Power Rangers Merah Mengaku Bunuh Guna Pedang Samurai


LOS ANGELES – Pelakon Ricardo Medina, yang terkenal dengan wataknya dalam rancangan siri adiwira kanak-kanak Power Rangers, mengaku bersalah menikam hingga mati rakan sebiliknya.

Menurut pejabat peguam daerah Los Angeles, Medina, 38 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan membunuh secara sengaja menggunakan pedang samurai untuk membunuh Josh Sutter, 36 tahun, pada 31 Januari tahun lalu.

Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan bahawa dalam kejadian tragik tersebut, Medina dan Sutter bergaduh hanya kerana pertikaia mengenai isu teman wanita Medina di sebuah rumah mereka di Palmdale, California.

Insiden malang itu berakhir dengan Medina menikam rakan sebiliknya itu sehingga mati, menurut pihak pendakwa raya dalam satu kenyataan. Medina boleh dipenjara selama enam tahun jika disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Sesi perbicaraan bagi hukumannya dijadualkan berlangsung pada 30 Mac. Medina yang melakonkan watak Red Power Ranger sebelum ini pernah ditahan kerana disyaki membunuh Sutter namun dibebaskan.

Ketika itu dia dikatakan mendakwa terpaksa melakukan pembunuhan dramatik sedemikian kerana konon demi pertahankan dirinya sebelum ditahan semula oleh pihak polis atas tuduhan sengaja bunuh dengan niat.

Penangkapan semula Medina yang berketurunan Puerto Rico, adalah disebabkan penemuan bukti yang tidak sepadan dengan pengakuan suspek sebelum ini, menurut laporan media tempatan pada waktu tersebut.

Medina, membintangi siri Power Rangers sebanyak dua kali – pertama pada 2002 sebagai Cole Evans – Power Ranger berwarna merah – dan 2011 sebagai Deker, lelaki jahat bersenjatakan pedang. – Agensi