ALOR SETAR - Rakyat di negeri Kedah diyakini dapat mengenal pasti dengan mudah tentang identiti mereka yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang majoritinya merupakan golongan "kecewa" ketika mereka di dalam UMNO sebelum ini.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, golongan berkenaan sememangnya sebelum ini kecewa tidak dipilih akar umbi sebagai pemimpin parti dan bertindak menyertai parti serpihan UMNO itu sebagai tanda protes, selain diberi jawatan yang diingini.
Namun begitu katanya, atas amalan demokrasi yang subur di negara ini, PPBM juga berhak dan bebas untuk berkempen sebagaimana parti pembangkang lain di negeri ini, termasuk di Parlimen Padang Terap atau Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Nerang.
"Soal PPBM nak pi masuk Kuala Nerang atau mana sekalipun, itu hak mereka. Kita amalkan demokrasi.
"Saya yakin rakyat di Kedah ni faham.. Sebenarnya kebanyakan orang yang sertai PPBM ni adalah mereka-mereka yang kecewa. Contohnya kecewa tak terpilih dalam pemilihan di peringkat bahagian dan sebagainya," katanya kepada Kedahnews.com, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Badrol Hisham juga tidak menolak bahawa PPBM sedikit sebanyak memberi kesan di Dun yang diwakilinya, namun beliau yakin bahawa rakyat Kuala Nerang dapat menilai dengan bijak tentang pihak mana yang lebih konsisten memberi khidmat terbaik kepada mereka.
Jelasnya, semua pemimpin UMNO dan BN sememangnya terbukti konsisten membela nasib rakyat dan sentiasa melaksanakan polisi serta dasar yang memberi manfaat serta kebajikan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat sejak di zaman merdeka lagi.
"Kita (BN) semua akan terus bekerja untuk rakyat. Macam saya, saya akan terus memberi khidmat sebagai Exco Kerajaan kepada rakyat di negeri ini, sebagai Adun kepada rakyat di Kuala Nerang dan sebagai pemimpin parti di kalangan akar umbi di UMNO Bahagian saya.
"Oleh itu, saya yakinlah bahawa rakyat di Kedah ini lebih realistik dan bijak menilai pihak manakah yang lebih konsisten berkhidmat untuk mereka dan urus tadbir bagi sesebuah negeri untuk membantu rakyat," jelasnya. - Kedahnews.com