PPBM Gembira PAS Jemput Bincang Agih Kerusi


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggambarkan kegembiraan apabila PAS menjemput mereka bagi mengadakan perbincangan soal pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jemputan tersebut menunjukkan satu perkembangan yang baik berkenaan hubungan antara kedua-dua parti tersebut, malah PPBM tidak akan menolaknya.

“Mereka jemput kita berunding dan berbincang mengenai kerusi. Kalau dulu awalnya tak ada. Sebagai parti baharu, memang minat kami untuk (bekerjasama) dengan semua pihak.

“Kami tak nak menolak minat sebegitu,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Hubungan PPBM dengan PAS sebelum ini tercemar gara-gara pelbagai kenyataan terbuka Pengerusi parti baru itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memandang remeh tentang jalinan kerjasama dengan PAS ekoran telah mengikat kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Malah kata Mahathir, kedegilan PAS untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan hanya merugikan pembangkang dalam usaha untuk mendapatkan kuasa untuk memerintah negara ini.

Mahathir dalam kenyataannya turut memandang sepi pelawaan PAS supaya PPBM meninggalkan Pakatan Harapan dan menjalin hubungan dengan Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beliau telah menimbulkan rasa tidak puas hati PAS dan para pemimpinnya telah bertindak menyelar Mahathir serta mengingatkan beliau tentang 'dosa-dosa silam' ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Selain itu Muhyiddin dalam kenyataannya bagaimanapun menegaskan bahawa PAS perlu mempunyai pendirian yang tegas dan prinsip kerjasama yang kukuh selain mengambil kira soal kerjasama PPBM yang sudah terjalin bersama Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Perlu juga mengambil kira hubungan kerjasama yang sudah kita jalinkan dengan Pakatan Harapan,” tegasnya, membayangkan pendirian PPBM yang mahu PAS turut menjalin hubungan dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Namun jelas beliau, kerjasama dan perbincangan yang bakal diadakan bersama PAS dalam masa terdekat ini tidak melibatkan Pakatan Harapan. -Kedahnews.com