PPBM Perlu Perjelas Pada Umat Islam Mengapa Tak Sokong RUU 355 - PAS


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam atas pendiriannya yang enggan memberi sokongan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan itu perlu dibuat oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran dirinya merupakan salah seorang Ahli Parlimen di negara ini.

"Kalau ada anggota parlimen yang tidak mahu sokong, yang jelasnya mereka yang tidak menyokong pindaan ini, perlu beri penjelasan kepada rakyat terutamanya umat Islam di Malaysia," tegasnya dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Selain itu, Takiyuddin turut meluahkan rasa hairan beliau terhadap PPBM yang semalam menafikan sokongan parti itu terhadap RUU 355.

Kata Ahli Parlimen PAS Kota Bharu itu, beliau tidak dapat mengenal pasti sebarang alasan untuk parti baru itu untuk tidak menyokong usul pindaan akta berkenaan ekoran ia adalah demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa PPBM sedia memberi sokongan terhadap RUU 355 yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun semalam Muhyiddin dalam kenyataannya "memalukan" PAS apabila menafikan dakwaan kononnya PPBM menyokong RUU 355 dan mengumumkan akan memohon secara rasmi untuk menganggotai Pakatan Harapan yang kini di bawah kuasa pengaruh DAP.

Permohonan PPBM untuk menyertai Pakatan Harapan itu turut menjelaskan pendirian parti baru itu yang menolak pelawaan PAS untuk menyertai blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera, bagi kerjasama menjelang PRU ke-14. - Kedahnews.com