PPBM Rasmi Mohon Sertai Pakatan Harapan, Tapi Bersyarat


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat keputusan bersetuju untuk menyertai blok pembangkang, Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP secara rasmi semalam, sekaligus menandakan parti itu menolak pelawaan PAS untuk bersama Gagasan Sejahtera.

Namun begitu, Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa persetujuan tersebut bagaimanapun mempunyai syarat tertentu, di mana PPBM mahu nama pakatan tersebut di ubah suai bersesuaian dengan penyertaan parti tersebut.

"Kita bersetuju bahawa kepimpinan akan memberitahu Pakatan Harapan tentang persetujuan kita secara rasmi.

"Kita akan menyatakan keinginan kita untuk menyertai Pakatan Harapan dengan tujuan kita untuk menyesuaikan sedikit namanya," katanya dalam satu kenyataan di ibu pejabat parti berkenaan di Petaling Jaya.

Selain itu, Mahathir turut bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan sebelum ini yang mahu mewujudkan satu logo dan manifesto baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14.

Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri tersebut menegaskan bahawa PPBM masih belum mempertimbangkan mengenai pembahagian kerusi.

Namun begitu, Mahathir mencadangkan agar Pakatan Harapan berpegang pada prinsip hanya seorang calon diletakkan di setiap kawasan dan mereka harus bertanding atas tiket Pakatan Harapan.

"Kita tak boleh lagi, kita belum masuk dalam satu gabungan pun...kita nak bahagi kerusi macam mana.

"Kita akan bincang bila kita dah masuk gabungan nanti. Tapi prinsipnya hanya satu calon dan kita akan desak ahli kita supaya mengundi calon itu sahaja," ujar Mahathir. – Kedahnews.com