PPBM Sertai Pakatan, PAS Sah Tutup Pintu Rundingan


KOTA BHARU – PAS menutup terus pintu rundingan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas parti itu sah menyertai Pakatan Harapan yang diketuai DAP semalam.

Malah Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang juga ahli Majlis Syura Ulama PAS turut menegaskan bahawa segala perbincangan serta rundingan parti itu dengan PPBM sebelum ini sebagai terbatal.

“Dasar kita, rundingan itu berjalan selagi PPBM tidak sertai pakatan pembangkang, sekarang sudah rasmi sertainya (Pakatan Harapan), maka berhentilah setakat itu, tidak ada perbincangan, tidak ada rundingan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan dan Timbalan Menteri Besar Kelantan menyatakan demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Selasa.

PPBM diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tahun lalu disahkan bergabung dengan parti-parti pembangkang yang pernah menjadi musuh politik beliau di dalam Pakatan Harapan diketuai DAP.

PAS tahun lalu mewujudkan blok baharu pembangkang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Presi­den PAN, Mohamad Sabu.

Sekretariat Pakatan Harapan bakal me­ngutuskan surat secara rasmi kepada PPBM untuk memaklumkan perkara tersebut dalam masa terdekat. – Agensi