PPBM Tak Perlu PAS Untuk Menang Di Pagoh - PAN


PAGOH - Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu bergantung dengan PAS untuk meraih kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Johor, Suhaizan Kayat berkata, Pakatan Harapan Johor mempunyai kekuatan yang akan membantu kemenangan PPBM di Pagoh pada PRU nanti.

"Pakatan Harapan ada kekuatan di Pagoh. Kami di Johor (PAN, PKR, DAP dan PPBM) akan bergerak sebagai satu pasukan selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang berpendapat PPBM memerlukan sokongan PAS menjelang PRU yang akan datang.

Khairuddin berkata, Muhyiddin perlu berfikir untuk dapatkan sokongan PAS di Parlimen Pagoh nanti pada PRU ke-14 nanti.

Kerusi Parlimen Pagoh disandang oleh Muhyiddin sebelum ini atas tiket Barisan Nasional (BN).

Parlimen berkenaan mempunyai 40,604 pengundi berdaftar, 60.05 peratus atau 24,384 orang pengundi Melayu, 14,290 atau 35.19 peratus pengundi Cina dan 1,929 (4.75 peratus) pengundi India. Ia juga merupakan kubu kuat BN sejak dari dahulu lagi. - Kedahnews.com