Projek Perumahan SPNB Di Semeling Terima Pengiktirafan QLASSIC

TUJ Fasa 2A yang telah siap sepenuhnya di Semeling menerima pengiktirafan Sistem Penilaian Kualiti Hasil Kerja Binaan (QLASSIC).
SEMELING - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya mendapatkan pengiktirafan Sistem Penilaian Kualiti Hasil Kerja Binaan (QLASSIC) bagi projek perumahan TUJ Fasa 2A di Semeling, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, kejayaan tersebut telah membuktikan bahawa syarikat yang ditubuhkan kerajaan pada 1997 itu adalah setanding dengan pemaju terkemuka lain di negara ini.

"Projek ini telah melalui satu sistem piawaian dalam industri pembinaan selain memberi jaminan kepada orang awam bahawa projek pembinaan yang dijalankan menepati kehendak yang diukur melalui mutu kerja.

"Berdasarkan kepada penilaian QLASSIC ini, kualiti kerja projek ini pada tahap terbaik malah membuktikan SPNB antara pemaju yang dipercayai dan setanding dengan pemaju lain dalam lapangan sama dalam negara," katanya ketika berucap di majlis Serah Kunci Fasa 2A & Pra Pelancaran Jualan Fasa 2B Taman Universiti Jaya, di sini, lewat petang semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Md Zin, Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Norizan Khazali.

Mengulas lanjut, Ahmad Azizi berkata, SPNB akan terus komited menjadi peneraju utama dalam memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuk belia untuk memiliki kediaman sendiri.

Katanya, pihaknya telah lama mengorak langkah dalam memastikan rakyat negara ini tetap mampu memiliki rumah walau dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Menurutnya lagi, SPNB terus mengekalkan momentum penjualan kediamannya malah kejayaan menyiapkan projek Rumah Idaman Rakyat (RIR) Taman Universiti Jaya (TUJ) Fasa 2A, tiga bulan lebih awal daripada ia dijadualkan siap merupakan satu kejayaan yang membanggakan.

Selain itu, Ahmad Azizi berkata, kejayaan SPNB Idaman Sdn Bhd (SISB), anak syarikat milik penuh SPNB, menyiapkan TUJ Fasa 2A lebih awal membuktikan kesungguhan SPNB memastikan aspirasi kerajaan berjalan lancar. 

"TUJ Fasa 2A merupakan projek pertama yang dibangunkan oleh SISB, yang ditubuhkan pada tahun 2014 sebagai menyambut pengumuman Program RIR oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan bajet tahun 2014. Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM83 juta kepada SPNB sebagai facilitation fund untuk membina 3,000 unit RIR di seluruh Malaysia melalui kerjasama dengan kerajaan negeri.

"Dengan kejayaan sulung SISB ini, jumlah keseluruhan perumahan SPNB yang telah disiapkan ialah 92,536 unit bermula dari tahun 1997 manakala 14, 906 unit pula dalam proses pembinaan di seluruh negara," katanya.

Jelasnya, TUJ Fasa 2A melibatkan pembangunan 104 unit rumah teres setingkat kos sederhana berkeluasan 1,160 kaki persegi (kps) (20’ x 45’) dengan harga jualan bermula RM136, 000 seunit.

Tambahnya lagi, kejayaan TUJ Fasa 2A itu juga bakal menyaksikan pelancaran Fasa 2B yang dijangkakan akan dimulakan pembinaannya pada suku ketiga tahun ini.

"Fasa 2B mempunyai komposisi yang berbeza dari Fasa 2A dan terdiri daripada 146 unit teres setingkat (20’ x 65’) dengan keluasan 1, 160 kaki persegi yang akan dijual pada harga bermula dari RM138, 600.

"Kita menjangkakan Fasa 2B juga akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari pembeli kerana harganya berada dalam lingkungan yang sangat mampu dimiliki dan inilah tujuan RIR diwujudkan untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki oleh golongan sasar dan berkualiti menerusi pemilikan kediaman yang sempurna kepada rakyat," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ahmad Azizi berkata, setelah 20 tahun SPNB ditubuhkan, syarikat itu masih kekal dengan objektif yang sama tetapi kini meliputi ruang yang lebih luas kerana keperluan rumah yang selesa dan mampu dimiliki dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Hakikat yang kita tidak boleh nafikan, berdasarkan fakta ialah kebanyakan harga rumah di Malaysia terutamanya di bandar tidak mampu dimiliki oleh kedua-dua golongan ini atas pelbagai sebab. Meskipun isu pemilikan rumah ini bukan terletak pada harga rumah semata-mata, namun ia adalah salah satu penyebab utama.

"Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab SPNB untuk menawarkan rumah di bawah harga pasaran namun ia bukanlah perkara yang mudah untuk dicapai kerana kami terpaksa lupakan impian untuk membuat keuntungan besar seperti pemaju-pemaju lain.

"Usaha ini juga menuntut komitmen yang berterusan dari semua pihak terutamanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Ahmad Azizi berkata, sesuai dengan slogan “Perumahan Untuk Semua”, SPNB menyediakan perumahan yang komprehensif memenuhi keperluan semua golongan.

"Kita akan terus meletakkan aspek kepuasan dan keselesaan pembeli sebagai keutamaan meskipun rumah ditawar pada harga lebih murah seperti yang saya sebutkan tadi.

"Namun apa yang penting,  walaupun SPNB menawarkan perumahan pada kadar yang lebih rendah berbanding pasaran, SPNB amat menitikberatkan faktor kualiti dalam pembinaan rumah yang ditawarkan kepada pembeli," kata beliau. - Kedahnews.com