"Proses Saman Memang Lambat, Yang Cepatnya Bawa Lari Kerusi," - Idris Ahmad


KUALA LUMPUR – “Saman PAS kepada Sarawak Report sedang berjalan, begitu juga saman kepada Datuk Husam Musa (pemimpin Parti Amanah Negara) sedang diteliti oleh pasukan peguam PAS.”

Justeru Naib Presiden PAS, Idris Ahmad meminta pihak yang memperli mengapa PAS mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report dan Husam supaya bersabar.

“Mereka yang bermusuh dengan PAS perli kenapa lambat sangat, saya jawab proses saman memang lambat, yang cepatnya bawa lari kerusi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Laman sesawang Sarawak Report yang dikendalikan pihak negara asing bekerjasama dengan pakatan pembangkang menyebarkan pelbagai fitnah ke atas kerajaan Malaysia bagi mempengaruhi pemikiran rakyat selama ini.

PAS pula menjadi sasaran fitnah Sarawak Report sejurus parti itu menolak pelawaan kerjasama oleh Pakatan Harapan yang dibarisi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Idris dalam pada itu mengalu-alukan Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat tuduhan Sarawak Report dan pemimpin Pakatan Harapan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mendakwa tuduhan itu sebenarnya satu fitnah yang dilemparkan dalam kalangan masyarakat Cina negara ini untuk memburuk-burukkan imej PAS. – Kedahnews.com