PRU14: Kit Siang Ikrar Bertempur, Bertanding Di Parlimen Alor Setar?


ALOR SETAR – Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berikrar akan terus “berjuang” dan “bertempur” dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 14 akan datang meskipun menerima pelbagai kecaman dan serangan dari musuh tradisi politiknya, UMNO.

Menurut Penasihat DAP itu, beliau tidak akan terkesan dan sujud  terhadap segala kritikan  terhadap keputusannya yang mahu bertanding dalam PRU ke-14 terutama sekali dari pihak Barisan Nasional (BN).

"Kempen peringkat tinggi oleh para pemimpin UMNO dan BN untuk memperlekeh dan memusnahkan saya akan terkesan ke atas keazaman untuk tidak tunduk kepada 'politik kotor' berupa kebencian, ketakutan dan ugutan.

"Jika saya akhirnya membuat keputusan untuk terus berjuang dalam pilihan raya umum akan datang, saya perlu berterima kasih kepada 'taktik kotor' BN untuk kempen pembohongan dan penipuan bertujuan menghapus serta mematahkan semangat saya," katanya.

Tambah Kit Siang, sejak kebelakangan ini pihak media yang di kawal oleh kerajaan sering menjadikannya sebagai objek yang dilabelkan sebagai  'anti-Melayu dan anti-Islam'.

"(Mereka) gambarkan saya sebagai syaitan, hantu, puaka dan juga jembalang seolah-olah nafas  saya keluarkan api atau makan bayi untuk sarapan pagi," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan  Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang menawarkan ganjaran wang tunai RM50,000 kepada rakyat untuk menulis esei terbaik mengenai Kit Siang sebagai 'anti-Melayu dan anti-Islam'.

Sementara itu, desas-desus pula mengatakan Penasihat DAP berkemungkinan akan memilih untuk bertanding di kerusi "selamat" di Parlimen Alor Setar pada PRU ke-14 nanti.

Difahamkan, beliau berpotensi untuk menang di kerusi berkenaan berdasarkan populasi kaum dan pengundi di Alor Setar yang dijangka cenderung menyokong DAP, khususnya Kit Siang yang merupakan ikon kepada parti politik pembangkang itu. – Kedahnews.com