#PRU14: Mahathir Sah Bertanding Di Parlimen Langkawi?


ALOR SETAR - Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan membuat pengesahan bahawa beliau bakal melakukan "come back" dalam arus politik negara apabila mencabar Datuk Seri Nazri Aziz untuk bertanding menentangnya di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Membayangkan Langkawi sebagai "kawasan miliknya", Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu yang juga merupakan Ketua (Penaja) PPBM Bahagian Langkawi yakin mampu menewaskan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu di pulau lagenda tersebut.

"Saya ajak dia bertanding dengan saya di Langkawi dalam pilihan raya akan datang," katanya, sekaligus membayangkan diri akan bertanding sebagai calon PPBM di Langkawi.

Mahathir mengulas demikian setelah dicabar Nazri untuk bertanding di Parlimen Padang Rengas sebelum ini.

"Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya.

"Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja," kata Mahathir menganggap Langkawi sebagai "tempatnya".

Nazri sebelum itu mencabar Mahathir untuk bertanding di Padang Rengas ekoran beliau difahamkan tentang kehadiran Pengerusi PPBM itu ke kawasannya untuk berkempen pada 25 Mac ini.

"Saya difahamkan Muhyiddin akan datang ke sini pada 23 Mac dan diikuti oleh Dr Mahathir pada 25 Mac.

"Lawatan itu melambangkan betapa hebatnya saya sebagai seorang ahli politik kerana mereka perlu datang ke sini untuk mengalahkan saya, maka lebih mudah untuk mereka menjatuhkan Umno.

"Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada mereka, tapi jangan datang saja tapi bertanding di Padang Rengas pada pilihan raya akan datang," kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu kelmarin.

Nazri pada PRU ke-13 yang lalu menang bertanding di Parlimen Padang Rengas dengan majoriti 2,230 undi setelah menerima sebanyak 13,005 undi mengatasi calon PKR, Meor Ahmad Isharra Ishak yang memperoleh sebanyak 10,775 undi.

Sementara itu, Ahli Parlimen (BN) Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad pula menang dengan majoriti 11,861 apabila memperoleh sebanyak 21,407 undi berbanding calon PKR, Ahmad Abdullah yang hanya memperoleh  9,546 undi dan calon bebas, Marina Hussein, 180 undi.

Sekiranya benar Mahathir bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU ke-14 nanti, maka tindakan tersebut dijangka akan memecah rekod sebagai calon antara yang tertua pernah bertanding pilihan raya pada usia lebih 91 tahun. -Kedahnews.com