ALOR SETAR - Masa depan Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao-Leung dijangka kabur dan hampir gelap untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya gara-gara dilihat gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat yang baik di kawasan tersebut.
Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Dato' Dr. Leong Yong Kong berkata, selain jarang berada di kawasan yang diwakilinya untuk mengambil berat masalah rakyat yang memilihnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, pemimpin PKR itu seolah-olah hanya tahu buat sidang media sahaja.
"Gooi sememangnya tidak menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai Ahli Parlimen. Dia cuma pergi ke parlimen bagi soalan, selepas itu ambil kesempatan buat sidang media. Bila balik sini (Alor Setar) pun cari peluang buat sidang media saja.
"Dia bukan duduk sini, bukan tidur di sini. Dia mai sini, lepas itu dia balik ke Pulau Pinang, rumahnya di sana.
"Jadi, kalau diukur prestasinya sebagai wakil rakyat, memang penduduk di kawasannya pun tidak berikan 'markah yang tinggi' padanya," katanya kepada Kedahnews.com dalam satu wawancara eksklusif, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai kemenangan Gooi yang menewaskan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Chor Chee Heung, di Parlimen Alor Setar pada PRU ke-13 yang lalu, Dr Leong menjelaskan ia berlaku bukan atas faktor kekuatan pemimpin PKR itu.
Jelasnya, Chor tewas bertanding ketika itu adalah disebabkan parti Berjasa yang turut bertanding di parlimen tersebut dan berjaya meraih 3,530 undi, manakala Gooi hanya menang di kerusi berkenaan dengan majoriti tipis, 1,873 undi.
"Jika Berjasa tidak ganggu ketika itu, BN lawan PKR saja, bertanding satu lawan satu, belum tentu lagi nasib Gooi begitu baik. Saya yakin Gooi mungkin tidak ada peluang yang cerah untuk menang berbanding Tan Sri Chor yang sememangnya banyak berjasa di Alor Setar," katanya.
Sebelum ini, timbul desas-desus yang mendakwa Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dikatakan sedang mengintai peluang untuk bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU ke-14 nanti ekoran kenyataannya yang menyatakan kesediaan untuk meninggalkan Parlimen Gelang Patah.
Khabar angin berkenaan turut menjelaskan bahawa tindakan Kit Siang tersebut adalah berpunca dari kegagalan veteran DAP itu menjalankan tugas sebagai wakil rakya di kawasan tersebut sebagaimana yang diharap, selain begitu asyik berpolitik sepanjang masa.
Selain itu, kedudukan Gooi pula dilihat sebagai terancam setelah PAS menegaskan pendirian untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang dikuasai DAP dan dijangka bakal kehilangan ribuan undi dari pengundi PAS di parlimen berkenaan. - Kedahnews.com