PRU14: PAS Sasar Tawan Negeri Selangor?


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta pemimpin Pakatan Harapan tidak meroyan dengan sasaran PAS untuk menguasai Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Kata beliau, jika Pakatan Harapan berhasrat menawan Kelantan maka tidak salah PAS menetapkan sasaran merampas kerajaan Selangor yang kini ditadbir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Belah sana (Pakatan Harapan) sering cakap nak kalahkan PAS di Kelantan. Akan bertanding di semua kawasan PAS tanding.

“Dah beriya sangat belah sana nak tawan Kelantan, apa pulak salahnya belah sini (PAS) nak ambil Selangor? Belah kita tak apa. Belah orang tak boleh. Kartun lah,” sindirnya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu membidas Pakatan Harapan kerana seolah-olah mahu memaksa PAS bekerjasama dengan mereka.

Pakatan Harapan yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) diketuai parti sekular DAP.

Pakatan Harapan hari ini mengumumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan turut menyertai gabungan pembangkang itu.

Mahathir menubuhkan PPBM gara-gara berdendam dengan UMNO dan Kerajaan Persekutuan kerana enggan memenuhi beberapa kepentingan peribadinya dalam perniagaan dan politik. – Kedahnews.com