PRU14: UMNO Jerlun Akui Tidak Sempurna, Tapi...


JERLUN - UMNO Bahagian Jerlun mengakui mempunyai kelemahan dan tidak bersifat sempurna, namun melalui kerjasama serta muafakat semua pihak kebanyakan kelemahan-kelemahan tersebut dapat diatasi dengan baik.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, rakyat di sekitar Jerlun menyedari tentang usaha seluruh warga UMNO di kawasan terbabit yang banyak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat di parlimen tersebut.

"Kita pun mengaku, kita pun bukan sempurna. Kita pun ada kelemahan.

"Tapi saya yakin bahawa kita dapat memperkukuhkan kelemahan-kelemahan itu dengan kerjasama semua pihak terutama AJK-AJK Bahagian, kepimpinan 4 peringkat.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, beliau yakin bahawa rakyat di kawasan tersebut dapat menilai segala khidmat bakti yang diberikan oleh UMNO selama ini dan mereka amat bijak untuk berlaku rasional memilih sebuah parti yang mampu membela nasib mereka.

Justeru itu, Othman menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan berdasarkan prestasi UMNO yang selama ini tradisinya tidak pernah gagal memastikan rakyat terus hidup aman dan selesa.

"Kita serahkan kepada rakyat. Rakyat hari ini cerdik. Rakyat tahu dan dapat menilai. Kita rujuk kepada rekod prestasi kerja..

"Saya bersama Datuk Abu (Abu Hassan Sarif) sentiasa menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat sama ada berkaitan dengan kampung, individu, anak sekolah, universiti, ekonomi dan sebagainyalah.

"Jadi saya ingat, insyaAllah rakyat akan menyedari bahawa mereka patut memilih orang yang mampu 'deliver', yang mampu menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi," ujar Naib Ketua Bahagian UMNO Jerlun itu.

Mengulas mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam yang asalnya merupakan kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13 yang lalu, beliau menjelaskan keadaannya adalah sama secara keseluruhan.

Katanya, beliau dan kepimpinan UMNO Bahagian tidak pernah mengabaikan Dun tersebut meskipun diwakili bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

"Ayer Hitam pun sama juga. Datuk Abu Hassan Sarif sebagai (pemangku) Ketua Bahagian dan saya sebagai Ahli Parlimen, kita cover kerja-kerja yang berkaitan dengan rakyat di Ayer Hitam.

"InsyaAllah, kita yakin rakyat akan memilih parti yang mereka yakin boleh memenuhi dan menyelesaikan masalah mereka. Mereka tidak akan kehilangan pertimbangan berdasarkan kepada sentimen (peribadi seseorang semata-mata)," katanya lagi.

Dun Ayer Hitam kini merupakan satu-satunya milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dimenangi di atas tiket UMNO setelah Mukhriz dipecat dari parti ekoran tindakan beliau melanggar disiplin jemaah parti.

Selepas meletak jawatan Menteri Besar susulan dari undi tidak percaya yang diadili Jemaah Pemangku Sultan Kedah ketika itu, Mukhriz kemudian menubuhkan PPBM bersama bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan ramai akar umbi di Jerlun merungut gara-gara prestasi Mukhriz yang kurang peduli tentang masalah rakyat dan parti di Jerlun, termasuk kegagalan politik beliau di keseluruhan negeri.

Selain itu, beliau juga dikaitkan dengan kecenderungan mengumumkan perancangan projek-projek mega Kerajaan Negeri tanpa merealisasikan perancangan tersebut turut dikatakan telah mengecewakan ramai pihak. - Kedahnews.com