Rakyat Malaysia Di Korea Utara Selamat – Reezal Merican


KUALA LUMPUR – Seramai 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Utara, selamat.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata yang lain terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka.

“Tiada ancaman terhadap mereka. Jangan kita membuat spekulasi. Saya juga akan menghubungi seorang daripada mereka tidak lama lagi,” katanya kepada wartawan di ruang legar Parlimen di sini hari ini.

Bagaimanapun pihak Wisma Putra di Putrajaya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung situasi yang semakin meruncing di antara kedua-dua negara ini dalam masa terdekat.

Ia susulan tindakan pemerintah rejim komunis Pyonyang yang dilaporkan media rasmi negara itu, KCNA hari ini melarang semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara.

Larangan itu sekali gus berpotensi menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan berikutan pergeseran diplomatik yang semakin meruncing susulan pembunuhan Kim Jong-nam di Kuala Lumpur.

“Semua warga Malaysia di DPRK (Republik Demokratik Rakyat Korea) dilarang meninggalkan negara ini buat sementara waktu, sehingga kejadian yang berlaku di Malaysia diselesaikan dengan betul, ” kata KCNA

Agensi berita itu memetik kenyataan Kementerian Luar di Pyongyang susulan tindakan Putrajaya mengusir Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol semalam. – Agensi