Remaja Lawan Arus Nahas Maut Dibicara Kes Dadah


BUKIT MERTAJAM – Pemandu remaja perempuan yang melawan arus sehingga menyebabkan maut, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan ambil dadah hari kejadian.

Tertuduh, Ng Pei Ven, 19, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin, Pei Ven yang juga model sambilan dan berasal dari Butterworth dekat sini mengaku faham pertuduhan dan minta dibicarakan di mahkamah tersebut di sini.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mahkamah, Md. Azman Kadir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Dalam pada itu Majistret, Jamaliah Abdul Manap menetapkan sebutan semula kes iaitu 12 Mei depan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin. Pei Ven bagaimanapun turut diarahkan untuk melaporkan diri di balai polis terdekat setiap minggu sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.

Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi Selasa lalu, kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu secara melawan arus oleh Pei Ven di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari arah Sungai Dua menghala ke Permatang Pauh.

Rakaman klip video kes itu menjadi tular apabila tertuduh dilaporkan media sebelum itu sebagai mabuk sebelum melanggar beberapa kenderaan lain sehingga menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang, Mohd. Fandi Rosli.

Pei Ven dikecam netizen kerana tindakan biadapnya melarikan diri selepas terlibat kemalangan kecil sebelum itu membawa nahas maut sehingga mengakibatkan isteri mangsa yang hamil empat minggu menjadi balu sekelip mata.

Sementara itu, mahkamah turut menolak permohanan Md. Azman supaya lesen memandu tertuduh digantung kerana dia masih belum didakwa dan disabitkan kesalahan bagi tuduhan memandu secara berbahaya. - Bernama