Remaja Maut, Sepupu Parah Motosikal Bertembung Kereta Di Sik


ALOR SETAR – Seorang remaja maut manakala sepupunya cedera parah apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Masjid, Sik, kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Sik, DSP Ismail Ibrahim, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Shahmie Suhaili yang membonceng manakala penunggang, Muhammad Haikal Yahya, masing-masing berusia 14 tahun dari Kampung Tala, Jeneri, Sik.

Difahamkan kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menetap di rumah nenek mereka di kampung itu sejak setahun lalu keluar untuk membeli nasi goreng yang dipesan nenek mereka kira-kira pukul 8.30 malam.

“Kejadian berlaku sebaik motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa itu bertembung dengan kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun yang datang dari arah bertentangan iaitu dari Jeneri menghala ke Gajah Putih.

“Akibat pertembungan itu, Muhammad Shahmie maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala manakala sepupunya yang parah di badan dibawa ke Hospital Sik sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jeneri juga tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal dan Muhammad Haikal juga tidak mempunyai lesen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melibatkan kematian, katanya. – BERNAMA