Rempuh Lori, Pemandu Cedera Tersepit Dalam Kereta Di Sg Petani

Anggota APM yang membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di lokasi kejadian.
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki cedera akibat tersepit selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang lori tangki, di Kilometer 113.4, Lebuhraya Utara-Selatan (LRUS) menuju ke arah Selatan, semalam.

Kejadian itu berlaku, kira-kira jam 1.25 petang, mangsa Abdul Malik Abu Yaziz, 34, dari Kuala Kedah, dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Perai.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori tangki.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, apabila mangsa sampai di tempat kejadian, lori tangki sedang bergerak di laluan kiri dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh Abdul Malik dari arah belakang.

"Akibat pelanggaran itu, Abdul Malik mengalami cedera di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.

"Manakala, pemandu lori Mohd Nizomudin Muslim, 27, tidak mengalami kecederaan," katanya, semalam.

Bagaimanapun mangsa yang parah itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan.

Sumber: Sinar Harian