Ribut Di Kupang: Alimi, Rakan-Rakan Bergilir Laung Azan

Alimi (dua, kiri), Khalifah (dua, kanan) dan Mohf Fakharurazi (kanan) menunjukkan pokok durian yang tumbang.
BALING - Empat remaja melaungkan azan secara bergilir-gilir selama setengah jam selepas ribut kuat melanda rumah mereka di Kampung Sungai Tembak B, Mukim Kupang, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 hingga enam petang itu, empat remaja berkenaan, Alimi Shahrul Nizam, 14, Mohd Yusof Mohd Kharizam,10, Ahmad Fahim Muhd Fakharozi dan Mohd Hadi Hamizan,10, melaungkan azan selepas bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga.

Alimi berkata, angin pada petang itu begitu kuat hingga memaksa dia bersama tiga sepupu, nenek dan datuk saudara berkumpul di ruang beranda.

“Angin memang kuat hingga kami di sini tak nampak apa-apa. Bimbang sesuatu buruk berlaku, saya dan tiga sepupu lain berpakat azan ikut giliran,” katanya.

Menurutnya, ribut yang tidak berhenti menyebabkan mereka berempat tidak putus asa melaungkan azan dan berdoa.

“Apa yang berlaku adalah kehendak dan kekuasaan ALLAH,”katanya.

Neneknya, Khalifah Yaacob,66, berkata, dia menyaksikan sendiri bagaimana ribut tersebut berhenti selepas berkali-kali azan dilaungkan empat cucunya.

Menurutnya, mereka juga selamat daripada sebarang perkara tidak diingini biarpun bumbung bahagian dapur dan bilik air rosak akibat dihempap pokok durian.

“Bila ribut berhenti, makcik dan yang lain keluar dan terkejut tengok bumbung rumah rosak ditimpa pokok durian.

“Tak ada siapa dengar bunyi pokok itu hempap pokok rumah sebab angin waktu itu sangkat kuat, macam bunyi serombong kapal. Apa pun alhamdulillah tak ada siapa yang cedera," katanya kepada Sinar Harian.

Pokok tumbang

Penduduk, Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, tiada siapa berani keluar dari rumah ketika ribut melanda kampung berkenaan.

“Keadaan sangat bahaya kepada penduduk. Angin ribut sangat kuat hingga pintu rumah, saya nak tutup pun tidak boleh.

“Banyak pokok-pokok tumbang di kampung ini termasuk mengakibatkan kerosakan bumbung rumah penduduk, beberapa tahun lalu pun ribut kuat pernah berlaku di kampung ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mazni Ngah, 35, berkata, pokok machang berusia 30 tahun di hadapan rumahnya tumbang.

“Bila pulang dari kerja, pokok machang milik ibu dah tumbang halang jalan, memang saya terkejut,”katanya.

15 kampung terlibat

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, ribut kelmarin turut melibatkan 14 kampung lain dengan bilangan rumah terjejas sebanyak 64 rumah.

Menurutnya, kebanyakan rumah penduduk yang rosak melibatkan bahagian bumbung.

“Ada rumah penduduk yang rosak hingga 50 peratus, dalam kejadian sama dua kenderaan jenis MPV rosak ditimpa pokok.

“Berdasarkan laporan, lapan pokok tumbang di atas bumbung rumah hingga menyebabkan kerosakan, kediaman lain rosak berpunca dari ribut,” katanya.

Beliau berkata, JKM memberikan Bantuan Segera Bencana bagi meringankan beban.

“JKM Baling juga sedang membuat siasatan rapi sebelum kita salurkan pula Bantuan Pemulihan Bencana,”katanya.

Sementara itu, Adun Kupang, Datuk Harun Abd Aziz menyampaikan Bantuan Rakyat Kedah  (Barakah) kepada mangsa terlibat.

Sumber: Sinar Harian