RM48.6 Bilion Pinjaman PTPTN Diagih Sejak 1997


KUALA LUMPUR – Seramai 2,643,734 peminjam telah menerima pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan nilai RM48.6 bilion sejak institusi itu ditubuhkan pada 1997 sehingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata seramai 41,706 peminjam dengan nilai RM1,234.66 juta telah mendapat manfaat pelepasan pengecualian bayaran balik sejak kaedah itu dilaksanakan pada 2003.

“Oleh itu, kementerian buat masa ini belum bercadang memperluaskan skop pengecualian bayaran balik PTPTN terutamanya kepada pelajar yang sekadar memperoleh ijazah kelas kedua tertinggi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mencadangkan supaya menyemak semula dasar pinjaman PTPTN yang turut diberikan kepada anak orang kaya dan menukar pinjaman kepada biasiswa bagi pelajar cemerlang.

Mary Yap berkata setakat ini tiada kajian khusus bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan kelewatan atau kegagalan peminjam melunaskan pinjaman PTPTN.

Namun, katanya, maklum balas yang diterima mendapati antara faktor peminjam gagal melunaskan pinjaman ialah mereka belum mendapat pekerjaan dan telah bekerja tapi pendapatan tidak setimpal dengan kelulusan.

“Selain itu, sebahagian peminjam telah bekerja dan memperoleh gaji mencukupi tapi sikap tidak mahu membuat bayaran balik dibuktikan apabila hanya datang berunding setelah dikenakan sekatan Jabatan Imigresen dan disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Mengenai isu kelewatan penerimaan bayaran pinjaman, Mary Yap menjelaskan PTPTN mempunyai prosedur operasi standard (S.O.P) yang tertentu sebelum membuat kelulusan pengeluaran kepada pelajar.

“S.O.P ini penting bagi mengelakkan pengeluaran pinjaman kepada pelajar yang tidak layak seperti gagal dalam peperiksaan, berhenti universiti dan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) kurang 2.0,” katanya. – BERNAMA